KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu perlu tampil dengan sebuah mekanisme subsidi bersasar lebih terperinci dalam sektor pertanian demi melestarikan pembahagian lebih efektif.

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou, Gerald Thomas Wong yang mencadangkan agar kerajaan memperkenal mekanisme lebih terperinci sekiranya subsidi bersasar dalam sektor pertanian dilaksanakan.

“Bagi pembahagian subsidi, saya mohon kerajaan tampil dengan satu mekanisme lebih terperinci. Contohnya, minyak dan ayam. Untuk bahagian logistik, subsidinya berapa peratus, untuk pertanian pula berapa peratus.

“Dari situ kita boleh nilai subsidi mana yang kita perlu fokus secara tidak langsung untuk melestarikan pembahagian subsidi bersasar ini lebih efektif,” katanya kepada Astro AWANI dalam program Malaysia Memantau.

Di bawah perbelanjaan mengurus (OE), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerima RM1.7 bilion bagi pemberian subsidi dan insentif untuk industri pertanian serta perikanan untuk tahun 2022.

Dalam pada itu, Gerald turut memohon kerajaan memandang serius memainkan peranan untuk menarik minat lebih ramai belia menyertai sektor pertanian dengan pendedahan lebih meluas.

“Peningkatan jumlah subsidi bagi sektor pertanian secara tidak langsung membuktikan aktiviti pertanian memainkan peranan sangat penting di negara kita.

“Aktiviti pertanian memerlukan anak muda memegang cangkul dan bermain dengan lumpur. Saya menyeru kerajaan atau agensi di Malaysia untuk memainkan peranan eksklusif dalam menarik minat lebih ramai anak muda.

“Pada masa ini, kita didedahkan dengan konsep pertanian moden seperti akuaponik dan hidroponik untuk menarik minat anak muda sekali gus membantu food security (sekuriti makanan) di Malaysia,” katanya