[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Subsidi bersasar RON95 lanjutan kejayaan STR, SARA

Astro Awani 23/09/2025 | 14:45 MYT
Dr Rusdi berkata, komuniti antarabangsa, termasuk institusi penarafan kredit seperti Moody's dan S&P, telah memberikan respons positif terhadap komitmen Malaysia dalam reformasi fiskal ini. - Gambar GSGSG
KUALA LUMPUR: Kejayaan program bantuan tunai bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menjadi bukti pendekatan bantuan bersasar mampu menyalurkan manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar, kerajaan Malaysia telah mengambil pendekatan yang bijak dalam memantapkan sistem subsidi negara, khususnya melalui pengenalan subsidi petrol RON95 bersasar yang bakal dilaksanakan pada hujung September.

“Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah ketirisan subsidi yang berlaku sebelum ini, di mana sistem subsidi blanket telah menyebabkan kira-kira 60 peratus daripada subsidi petrol RON95 dinikmati oleh golongan M40 dan T20 serta pelancong asing.

"Berbanding hanya 40 peratus yang sampai kepada golongan B40 yang sepatutnya menjadi sasaran utama,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau menjelaskan, sejajar dengan kejayaan program bantuan tunai bersasar seperti STR yang telah menyalurkan RM8.5 bilion kepada 8.5 juta penerima pada 2024, sistem subsidi RON95 bersasar akan memastikan hanya warganegara sahaja yang menerima subsidi.

“Pendekatan ini juga menggunakan kejayaan program SARA yang telah terbukti berkesan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan melalui sistem teknologi maklumat yang diperkukuh, termasuk penggunaan MyKad dan aplikasi digital untuk pemantauan real-time," katanya.

Jelasnya, langkah pembaharuan subsidi ini merupakan sebahagian penting daripada usaha kerajaan mencapai disiplin fiskal yang lebih baik.

"Dengan kos subsidi petrol yang mencecah RM20 bilion setahun, penjimatan daripada sistem bersasar ini dijangka dapat membantu mengurangkan defisit fiskal negara yang kini berada pada paras 4.3 peratus daripada KDNK kepada sasaran 3.0 peratus menjelang 2026.

“Oleh itu, reformasi ini bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab dalam pengurusan kewangan negara tetapi turut memulihkan keyakinan pelabur dan komuniti antarabangsa,” katanya.

Dr Rusdi berkata, komuniti antarabangsa, termasuk institusi penarafan kredit seperti Moody's dan S&P, telah memberikan respons positif terhadap komitmen Malaysia dalam reformasi fiskal ini.

“Penarafan kredit Malaysia yang kekal stabil pada A3 (Moody's) mencerminkan keyakinan terhadap kebolehan negara mengurus kewangan dengan bertanggungjawab.” katanya.

Justeru, pembaharuan sistem subsidi Malaysia, khususnya RON95 bersasar, menunjukkan kematangan dalam pengurusan dasar awam yang bukan sahaja memastikan keadilan sosial tetapi turut memperkukuh kedudukan fiskal negara untuk pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif pada masa hadapan.

#golongan B40 #KDNK #subsidi #RON95