PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata peralihan tersebut akan dilakukan secara berfasa dan dijangka bermula Januari 2024 berdasarkan Pangkalan Data Utama (PADU).

Jelas beliau, penubuhan PADU akan mempercepatkan peralihan kerajaan untuk membangunkan program dan inisiatif berpandukan kedudukan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah termasuk melibatkan subsidi bersasar.

“Sebelum ini setiap kali kita berbincang mengenai bantuan, klasifikasi ekonomi, kita tertumpu kepada klasifikasi B40, M40, dan T20.

“Ada banyak perbincangan mengenai pendekatan ini kerana ia tidak mengambarkan sepenuhnya dari segi perbandingan kemampuan dari satu isi rumah ke satu isi rumah kerana ada banyak pembolehubah lain daripada hanya pendapatan dan ia termasuk jumlah tanggungan.

“Sebelum ini kerajaan ada beberapa kekangan kerana bekalan data itu bersifat berpendapatan semata-mata dan minggu ini kerajaan mengumumkan penubuhan PADU yang akan beri tumpuan khusus untuk bina maklumat sehingga ke peringkat pendapatan boleh belanja bersih isi rumah,” katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan Indeks Harga Pengguna (IHP) Mac 2023.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata terdapat lebih 200 sumber pengkalan data yang akan disepadukan dan dikemas kini melalui PADU, sekali gus memastikan keberkesanan pelaksanaan program kerajaan.

Menerusi PADU, jelas beliau ia juga akan menjadi rujukan terhadap kumpulan sasar yang layak menerima subsidi bersasar RON95 kelak.

"Ketika ini kita tumpukan kepada dua komponen dahulu iaitu subsidi elektrik dan diesel kerana gabungan subsidi ini dianggarkan lebih kurang RM20 bilion hingga RM25 bilion.

"Bila kita beralih kepada RON95, sudah tentu pertimbangan itu lebih besar kerana ia melibatkan lebih ramai, keluarga isi rumah yang bawah dan sebab itu kita akan pastikan PADU ada maklumat sehingga ke pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.

"Sebarang keputusan unttuk mensasarkan RON95 akan boleh dibuat dengan lebih mudah dan tempoh masa (untuk melaksanakan subsidi bersasar RON95) akan dipantau berdasarkan subsidi elektrik dan diesel," ujarnya lagi.

Pada Khamis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memaklumkan kerajaan dijangka melaksanakan pemberian subsidi bersasar melibatkan diesel, mulai tahun depan.

Keputusan itu dicapai menerusi perbincangan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Sementara, melalui pelaksanaan subsisi elektrik bersasar pula, kerajaan memperoleh penjimatan sebanyak RM4.1 bilion pada separuh tahun 2023.