KUALA LUMPUR: Kecederaan fizikal, emosi, atau kematian kanak-kanak akibat sikap tidak acuh ibu bapa bukan satu kemalangan sebaliknya disebabkan kecuaian.

Pihak berkuasa wajar mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang cuai dengan melaksanakan peruntukan sedia ada di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], demi kepentingan terbaik kanak-kanak.

Demikian disuarakan Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Dr Farah Nini Dusuki dalam satu kenyataan semalam.

"Kecederaan fizikal dan emosi atau kematian kanak-kanak disebabkan kecuaian ibu, bapa atau penjaga merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 31 Akta 611.

"Jika disabitkan kesalahan, ibu, bapa atau penjaga boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Hukuman itu merupakan peningkatan hukuman yang dibuat dalam Akta 611 pada 2016 sebagai suatu bentuk pencegahan terhadap kes kecuaian melibatkan kanak-kanak di bawah jagaan ibu bapa atau penjaga," katanya.

Farah Nini turut berkongsi data daripada  Kementerian Kesihatan Malaysia yang menunjukkan kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun pada 2018 meningkat berbanding 2017 dengan negeri Sabah mencatatkan angka tertinggi iaitu 12.7 per 1,000 kelahiran.

Jelas beliau, data berkenaan menyatakan, antara punca utama kematian adalah kes yang boleh dicegah seperti kecederaan dan jangkitan akibat tiada imunisasi.

Tegasnya, Seksyen 31 dan 33 Akta 611 turut diperkasakan dengan menambah hukuman khidmat masyarakat.

Ia termasuk, antara lain, mewajibkan kehadiran ke bengkel keibubapaan ke atas ibu bapa atau penjaga yang cuai dan sengaja membiarkan anak tanpa pengawasan.

Pada Sabtu, seorang bayi lelaki berusia satu tahun tujuh bulan meninggal dunia akibat hanyut dibawa arus deras di Sungai Ketil, Lubok Pedati, Baling, Kedah.

Mayat bayi itu ditemui di Kampung Sungai Limau yang terletak berhampiran kawasan sungai tersebut.

Mangsa yang lemas dipercayai bersama keluarganya ketika kejadian yang berlaku pada waktu tengah hari itu.