Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Khamis bimbang dengan gesaan beberapa pihak untuk melaksanakan semula Ordinan Darurat (EO) bagi menangani elemen yang mengugat ketenteraman negara.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata ini adalah kerana pelaksanaan semula EO merupakan satu langkah retrogresif kerana sebarang tahanan tanpa bicara adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip asas hak asasi manusia.

Berikut adalah kenyataan akhbar penuh Suhakam:

SUHAKAM amat bimbang dengan laporan mengenai peningkatan kadar jenayah yang melibatkan bekas
tahanan EO sejak pemansuhan EO pada tahun 2012 yang mendorong kepada cadangan daripada
segelintir rakyat yang prihatin termasuk ahli akademik dan penyelidik agar EO dilaksanakan semula atau
satu undang-undang penahanan pencegahan yang serupa digubal bagi menangani elemen yang
mengugat ketenteraman negara dan keselamatan masyarakat di Negara ini.

Walaupun SUHAKAM mengakui perlunya isu ini ditangani demi ketenteraman sosial, ia berpendapat
bahawa pelaksanaan semula EO merupakan satu langkah retrogresif kerana sebarang tahanan tanpa
bicara adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip asas hak asasi manusia,
khususnya Artikel 8(1) dalam Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 7 dalam Perisytiharan Hak Asasi
Manusia Sejagat (UDHR) yang memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undangundang
dan berhak mendapat perlindungan samarata di sisi undang-undang.

Keputusan penting Kerajaan atas inisiatif Perdana Menteri berkenaan penggubalan undang-undang selaras dengan keperluan masyarakat kontemporari merupakan satu kemenangan bagi pejuang-pejuang hak asasi manusia – yang mana kita semua adalah atau seharusnya menjadi seperti itu sebagai rakyat kepada sebuah negara yang berhasrat mencapai demokrasi yang berfungsi sepenuhnya - dan oleh itu, kita haruslah menyokong keputusan berkenaan ke arah mencapai taraf negara-negara maju.

Peningkatan kadar jenayah berlaku di negara - negara lain dan ianya bukan perkara unik di Malaysia; namun demikian, ini tidak memberi justifikasi ke atas penggunaan kaedah mundur/retrogresif yang hanya akan membawa Malaysia terkebelakang dari segi rekod hak asasi manusianya.

SUHAKAM berpandangan bahawa dakwaan kesalahan jenayah boleh ditangani oleh undang-undang keseksaan termasuk Kanun Keseksaan yang membenarkan suspek penjenayah didakwa menerusi pembicaraan awam yang adil di mahkamah.

SUHAKAM juga berpandangan bahawa pihak berkuasa perlu meningkatkan keberkesanan mekanisme siasatan, pencegahan dan pemantauan jenayah, serta program pemulihan untuk bekas tahanan.