Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia kesal dengan pengumuman Kerajaan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 dan untuk mengukuhkannya dengan peruntukan tambahan, walaupun janji yang dibuat pada tahun 2012 untuk memansuhkan undang-undang yang menindas dan lapuk.

Keputusan yang mengecewakan ini tidak memberikan gambaran baik kepada negara di saat ia akan menyandang dua jawatan bertaraf antarabangsa yang penting dan berprofil tinggi menjelang Januari 2015 iaitu sebagai anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan pengerusi ASEAN, sesuai dengan kemunculannya ketika ini sebagai komuniti serantau yang makin bersepadu, dinamik dan berpandangan jauh.

Dengan menggalas kedua-dua jawatan ini, harapan agar Malaysia dapat meningkatkan prestasi dan standard yang tinggi dalam ruang lingkup hak asasi manusia dengan jangkaan yang lebih kukuh dan dipergiatkan lagi.

Walaupun Suruhanjaya memahami keseimbangan antara kebebasan dan keselamatan, dan mengakui bahawa amalan kebebasan bersuara mungkin tertakluk kepada sekatan yang ketat seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang, terutamanya bagi melindungi hak asasi orang lain, ia menegaskan bahawa sebarang sekatan mesti seimbang, berkadar, jelas dan adil.

Seterusnya, sekatan itu hendaklah mematuhi norma antarabangsa mengenai hak untuk kebebasan bersuara dan berucap.

Oleh itu, semua undang-undang atau pindaan kepada undang-undang sedia ada seperti yang diumumkan, mestilah tertumpu kepada semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, dan prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa. Ini hendaklah juga mengambil kira realiti globalisasi yang bercirikan dimensi baru terhadap kebebasan bersuara melalui Internet dan media sosial.

Suruhanjaya turut menggesa Kerajaan untuk memastikan bahawa pindaan kepada undang-undang
sedia ada atau undang-undang yang baru mestilah berdasarkan penglibatan sepenuhnya dan perundingan bermakna dengan semua pihak yang berkenaan secara adil, jelas dan mematuhi proses yang sewajarnya, dan tidak tergesa-gesa .

Memandangkan bahawa Akta Hasutan tidak direka untuk tujuan mempromosi, memupuk dan mengekalkan keamanan dan keharmonian negara, Suruhanjaya mengulangi pendiriannya bahawa Akta Keharmonian Nasional yang dicadangkan mestilah segera menggantikan Akta Hasutan. Suruhanjaya yang juga telah dirujuk mengenai undang-undang yang dicadangkan ini, berpendapat bahawa undang-undang ini boleh mengatasi cabaran kebebasan bersuara secara mutlak, dan ancaman terhadap nilai demokrasi, serta pada masa yang sama memastikan rakyat Malaysia menikmati hak asas dan jaminan perlembagaan kepada kebebasan bersuara.

Suruhanjaya berpendapat juga bahawa Akta Keharmonian Nasional yang dicadangkan ini bertujuan untuk mencari keseimbangan yang saksama antara hak kebebasan berucap dan bersuara dengan hak rakyat untuk hidup aman, harmoni dan stabil.