Sukan Paralimpik Tokyo: Bukti lemah hampir pasti tidak memihak Ziyad Zolkefli

Astro Arena
Oktober 12, 2021 04:22 MYT
ZIYAD: Saya reda apa yang terjadi, bukan rezeki saya. Cuma saya harap ada pembelaan. - Gambar fail
KONTROVERSI melibatkan pembatalan pingat emas jaguh lontar peluru F20 negara, Ziyad Zolkefli, dalam Sukan Paralimpik Tokyo memasuki fasa baru selepas keterangan diambil pada hari kedua persidangan yang berlangsung tiga jam setengah di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Dalaman, Tan Sri Borhan Dolah, memberi gambaran sukar dalam proses menganalisis bahan bukti itu.
"Walaupun sebelum ini saya ada menyatakan akan memanggilkan lagi saksi-saksi yang lain tetapi dalam sesi pagi ini, saya dapat ia cukup untuk merumuskan siasatan ini dan kami berpuas hati termasuk bukti rakaman litar tertutup.
"Bukti itu memang ada tapi tidak membantu. Sudut yang kami dapat tidak nampak bukti (kukuh) iaitu jam elektronik di meja.
"Apa sahaja yang dikatakan kepada jawatankuasa, kami mahukan bukti.
"Kalau ada bukti dan sokongan, itulah yang kami guna pakai. Kalau setakat dengan kenyataan bahawa mereka datang awal, bukan kami tidak terima tapi ia tidak dapat membantu kami untuk menyokong dan menolaknya.
"Kami akan berikan pandangan kepada menteri sama ada teruskan (proses rayuan) berdasarkan klausa dan peraturan yang ada.
"Keputusannya sudah ada cuma tidak bersesuaian untuk saya maklumkan," kata Borhan.
BACA: Rakyat Malaysia tidak puas hati pingat emas Ziyad dibatalkan
BACA: Isu Ziyad: Siasatan mungkin selesai hujung bulan ini
Antara saksi yang hadir memberi keterangan ialah Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk R Subramaniam dan atlet itu sendiri.
"Sebagai orang sukan, kami perlu patuh dengan keputusan pengadil. Semuanya dilaksanakan berdasarkan peraturan yang ada. Kita perlu hormatinya," katanya pula.
Walaupun rekod baru dunianya tidak diiktiraf akibat masalah teknikal dalam soal pendaftaran ketika di Jepun, ia tidak mematahkan semangat Ziyad yang sedia akur dengan apa juga keputusan siasatan itu nanti.
"Saya sudah beritahu apa yang terjadi di sana. Sesi ini lebih santai, saya reda apa yang terjadi, bukan rezeki saya.
"Cuma saya harap ada pembelaan. Saya tidak berharap tapi kalau ada saya bersyukur. Kalau ada ganjaran Alhamdulillah saya terima dengan hati terbuka," katanya.
BACA: KBS bawa kes Ziyad ke Mahkamah Timbang Tara - Menteri
BACA: Isu Ziyad: MPM sudah peroleh rakaman CCTV daripada penganjur
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, pula berkata: "Saya berpendirian kami perlu baiki apa jua kesilapan di pihak kami.
"Kami juga perlu mempertahankan balingan yang menakjubkan Ziyad.
"Kalau perlu bawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), kami buat kerana ini satu pencapaian yang gemilang. Ia bukan sahaja untuk atlet para tetapi semua rakyat Malaysia."
#lontar peluru #Ziyad Zolkefli #Sukan Paralimpik Tokyo #bukti lemah
;