KUALA LUMPUR:Kestabilan politik di kala negara menghadapi krisis pandemik COVID-19 sukar dicapai, apatah lagi ada dalam kalangan pemimpin dilihat terus meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan rakyat.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berpendapat, integriti dan intellectual honesty (kejujuran intelek) adalah perkara paling sukar ditemui dalam kalangan pemimpin hari ini.

"Faktor paling utama untuk seseorang pemimpin dihormati ialah integriti yang tidak boleh dipersoal. Di Malaysia, bukan sahaja integriti tetapi intellectual honesty juga tidak ada.

"Perbuatan tidak selari dengan perkataan, janji tidak ditunaikan. Mereka ini masuk politik bukan untuk bantu rakyat tetapi untuk cari harta dan kuasa.

"Ketika rakyat menghadapi masalah, ekonomi negara menjunam, syarikat kecil khususnya milik Bumiputera banyak yang terpaksa ditutup, apa tindakan dan rancangan mereka untuk bantu?" katanya ketika muncul dalam program AWANI Pagi, hari ini.

Sikap ahli politik yang dilihat tidak kisah dikritik rakyat, tambah Akhbar, akan memberi impak negatif kepada imej negara.

"Imej negara akan tercalar, rakyat akan jemu dan hilang keyakinan. Wang negara sudah banyak habis, malah terpaksa pula menanggung hutang.

"Ibu kepada semua masalah ini ialah rasuah. Selagi rasuah masih ada, sampai bila-bila pun kestabilan politik tidak akan wujud.

"Sukar nak cari negarawan yang benar-benar memikirkan rakyat. Saya harap, jika ada, mereka boleh kembali tujuan asal, rencanakan perancangan untuk bela nasib rakyat.

"Ingatlah, undi yang diberi rakyat kepada anda ialah harapan, terutama rakyat bawahan yang merana, sumber kewangan mereka terjejas malah ada yang tak mampu nak makan.

"Jika mereka sudah tidak mampu cari rezeki dengan cara yang betul, tidak mustahil mereka akan pilih jalan yang salah untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dan jika ini berlaku, ini satu bahan kepada negara," ujarnya.