KUALA LUMPUR:Prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri melibatkan Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor akan dikekalkan seperti sebelumnya meskipun terdapat peningkatan kes di ketiga-tiga kawasan itu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP berkenaan tidak boleh diperketatkan selagi dibenarkan rentas negeri untuk bekerja.

"Selagi kita membenarkan rentas negeri untuk bekerja, selagi itu kita tidak boleh memperketatkan dari segi kawalan di antara rentas Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kawan-kawan saya dari Bentong pun ada bekerja di Kuala Lumpur dan berulang dan kita benarkan atas dasar kerja, hanya tunjukkan kad kerja atau surat pengesahan majikan dia bekerja di Kuala Lumpur.

“Jadi mereka boleh berulang setiap hari. Kalau kita lock dan tidak benarkan (rentas negeri), mereka tidak boleh bekerja. Kita tahu kes agak besar di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur tapi kita akan lihat dengan lebih teliti,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan berhubung gesaan sesetengah pihak yang mencadangkan SOP rentas negeri melibatkan negeri berkenaan diperketatkan.

Gesaan itu disuarakan susulan kes COVID-19 di negeri tersebut yang masih merekodkan angka membimbangkan saban hari.