GUA MUSANG: Sejak tiga tahun lalu, Persatuan Van Jenazah Gua Musang (VJGM) telah menguruskan 666 jenazah di daerah ini serta beberapa lokasi lain sekitar Kelantan, semuanya dilakukan secara percuma.

Pengerusi VJGM Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata fardu kifayah itu dilakukan untuk membantu meringankan beban keluarga yang tidak mempunyai sumber kewangan dan tidak mampu menguruskan jenazah ahli keluarga mereka.

Beliau berkata VJGM ditubuhkan pada 2020 dan kini ia mempunyai seramai 38 sukarelawa lelaki dan wanita dengan majoriti keahlian, adalah daripada golongan belia seawal usia 16 tahun.

"Kita membuat khidmat percuma bermula dari proses memandikan, mengkafankan, solat dan penghantaran jenazah.

"Destinasi yang paling jauh dihantar adalah jenazah mangsa COVID19 ke Sungai Golok di Rantau Panjang berhampiran sempadan Thailand , katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Tengku Razaleigh, Bandar Lama, di sini.

Pengerusi Persatuan Van Jenazah Gua Musang (VJGM) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) menunjukkan pengusung jenazah yang dimuatkan ke dalam setiap kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Naza Ria dan Kia untuk membawa jenazah sewaktu proses penghantaran dilakukan. - Foto BERNAMA


Bercerita lanjut, Mohd Azmawi Fikri berkata tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu Toyota Alphard, Naza Ria dan Kia digunakan mengikut keperluan sebaik sahaja laporan kematian diterima persatuan itu.

"Kami beroperasi 24 jam setiap hari tanpa bayaran dan bergerak atas sumbangan orang ramai. Setiap hari kita terima sumbangan dan segalanya berjalan lancar bagi kita memastikan urusan pengurusan jenazah dapat dilaksanakan dengan sempurna," katanya.

Seorang sukarelawan Siti Syairah Mohd Dusuki, 21, berkata beliau mempelajari selok-belok pengurusan jenazah hasil daripada menyertai persatuan VJGM yang turut mempunyai penasihat yang berpengalaman lebih 20 tahun.

Siti Syairah mengakui wujud perasaan takut pada awal penglibatannya namun kini beliau seronok melakukan pekerjaan tersebut.

"Memanglah apabila ada kematian kita sedih tetapi saya gembira dapat meringankan beban ahli keluarga.

"Kerana itulah saya terdetik hati untuk menolong serba sedikit yang patut kita bantu," katanya yang telah menguruskan lebih 200 jenazah wanita sejak tahun lalu.

-- BERNAMA