KUALA LUMPUR: SUKMA ke-22 Selangor 2026 terus menjadi platform penting dalam mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu negara, dengan seramai 132 atlet dikenal pasti berpotensi untuk dipertimbangkan ke arah persiapan Sukan SEA 2027.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, jumlah berkenaan terdiri daripada 59 atlet lelaki dan 73 wanita yang dikenal pasti berdasarkan penilaian awal sepanjang temasya SUKMA yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos lalu.
“Seramai 132 atlet, terdiri daripada 59 lelaki dan 73 wanita, telah dikenal pasti berpotensi untuk dipertimbangkan dalam persiapan ke arah Sukan SEA 2027.
“Atlet-atlet ini akan terus dipantau dan dinilai berdasarkan prestasi semasa, konsistensi, kecergasan, status kecederaan, prestasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta keperluan setiap acara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penilaian berkenaan turut mengambil kira keperluan bagi setiap acara dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Malaysia.
Sementara itu, Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA ke-22 dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan dan Terengganu masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Dalam pada itu, pencapaian atlet di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) turut mencatat keputusan membanggakan apabila 372 atlet daripada Program Podium, Pelapis dan Podium Berfasa menyumbang 373 pingat, terdiri daripada 180 emas, 99 perak dan 94 gangsa.
Sebanyak 37 rekod baharu SUKMA turut dicatatkan pada temasya kali ini, dengan 14 daripadanya dipecahkan atlet di bawah program MSN, membabitkan enam rekod olahraga, tiga memanah dan lima renang.
Antara atlet yang menyerlah ialah perenang Program Pelapis, Shannon Yan-Qing Tan yang meraih lapan pingat emas, manakala atlet Program Podium, Muhammad Dhuha memenangi lima pingat emas.
Selain itu, seramai 1,975 atlet yang dikenal pasti menerusi Program Bakat, Program Pembangunan Sukan Olimpik dan Program Khas MSN turut menyertai SUKMA ke-22.
Daripada jumlah itu, 538 atlet berjaya menyumbang pingat kepada kontinjen negeri masing-masing.
Dr Mohammed Taufiq berkata pencapaian itu membuktikan program pembangunan atlet MSN terus memberi impak positif sebagai satu rantaian pembangunan yang merangkumi pengenalpastian bakat, pembangunan atlet pelapis hingga ke peringkat prestasi tinggi.
“Temasya ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mempunyai pangkalan bakat sukan yang besar.
“Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan bakat-bakat ini terus dibangunkan menerusi sistem yang berkesan, sokongan yang mencukupi dan laluan prestasi yang jelas,” katanya.
Pada masa sama, KBS bersama MSN dan pemegang taruh berkaitan akan terus memperkasakan SUKMA sebagai platform pembangunan atlet, termasuk dari aspek pengenalpastian bakat, penyertaan atlet muda, standard pertandingan, pembangunan jurulatih, penggunaan data prestasi dan sains sukan serta laluan atlet ke program pembangunan kebangsaan.
“Usaha ini penting bagi memastikan SUKMA terus menjadi medan yang berkesan untuk melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang akan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya.
KBS turut menzahirkan penghargaan kepada semua atlet, jurulatih, pegawai teknikal, pengurus pasukan serta pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran penganjuran SUKMA ke-22 Selangor 2026.