Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan mengadakan pertemuan bersama Presiden Mongolia, Khaltmaagiin Battulga bersempena lawatan pertama baginda ke negara itu.

Menurut catatan dalam Facebook baginda, pertemuan itu berlangsung di rumah tradisional Mongolia di State House, Ulaanbaatar dengan diiringi Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim bersama beberapa anggota delegasi kerajaan negeri Johor.

Baginda kemudian berangkat ke sesi taklimat yang disampaikan pegawai-pegawai kerajaan Mongolia mengenai potensi peluang pelaburan serta perniagaan di negara itu terutamanya dalam bidang pembangunan hartanah.

Sultan Ibrahim turut berkenan meluangkan masa melawat kilang kain kashmir Gobi yang dimiliki kerajaan Mongolia di Ulaanbaatar, yang terkenal dalam kalangan pelancong dari segi kualiti pakaiannya.

Mongolia merupakan antara pengeluar terbesar kashmir di dunia dan ia merupakan bahan eksport terbesar negara itu selepas galian.

Menurut catatan itu lagi, baginda bersama delegasi juga akan berkunjung ke "Tsonjin Boldog" di mana terletaknya patung Genghis Khan, Raja Mongol yang pertama, esok.

--BERNAMA