MALAYSIA
Sultan Kedah seru anak Kedah yang berjaya kembali menyumbang kepada negeri

Sultan Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah menyeru agar anak-anak Kedah yang telah berjaya tampil menyumbang kembali kepada negeri ini. - Bernama
ALOR SETAR: Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah menyeru agar anak-anak Kedah yang telah berjaya tampil menyumbang kembali kepada negeri ini.
Baginda bertitah sumbangan boleh disalurkan dalam bentuk zakat, sedekah, wakaf, pelaburan, tenaga kepakaran mahupun inisiatif sosial demi kemajuan Kedah.
"Beta percaya, sekiranya setiap anak Kedah yang berjaya menyumbang kembali kepada negeri, maka negeri ini akan terus makmur, berdaya saing dan disegani.
"Inilah semangat Kedah Sejahtera, yang bukan sekadar slogan, tetapi merupakan satu usaha bersama," titah baginda pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-83 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.Baginda bertitah, kejayaan setiap individu tidak seharusnya hanya diraikan dan dinikmati secara peribadi semata-mata, sebaliknya perlu dianggap sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada negeri ini.
Sultan Sallehuddin turut menzahirkan rasa syukur dengan prestasi pelaburan di Kedah, yang terus menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
Titah baginda, perkembangan itu jelas menggambarkan keyakinan pelabur terhadap potensi Kedah, sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan stabil.
Namun, baginda menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi negeri mestilah bersifat menyeluruh, inklusif dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
"Beta ingin melihat tumpuan strategik diberikan kepada sektor-sektor berimpak tinggi yang bukan sahaja menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, malah membawa kesan limpahan ekonomi yang besar kepada negeri," titah baginda.
Sementara itu, Sultan Sallehuddin turut membangkitkan isu penyebaran ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, yang boleh menggugat keselamatan dalam negeri.
Sehubungan itu, baginda menyarankan agar Majlis Agama Islam Negeri Kedah, masjid, surau serta sekolah-sekolah agama memainkan peranan yang lebih aktif dalam usaha membendung ajaran sesat, fahaman menyimpang dan pengaruh radikal dengan tindakan yang tegas namun berhemah.
"Peranan para ulama, imam dan pendakwah yang diiktiraf serta bertauliah amat penting dalam membimbing masyarakat.
"Beta ingin mengingatkan bahawa setiap kupasan agama, ceramah dan dakwah yang disampaikan hendaklah tepat agar tidak menimbulkan kekeliruan atau perpecahan dalam kalangan masyarakat," titah baginda.
Berangkat sama ke istiadat itu ialah Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah, dan Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Seri Norizan Khazali serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami