Skip to main content

Malaysia

Inflasi Malaysia meningkat 1.8 peratus pada September 2026 - DOSM

Lapan negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras nasional 1.8 peratus, dengan Negeri Sembilan dan Labuan merekodkan kadar tertinggi, masing-masing 2.4 peratus. - Gambar hiasan
Lapan negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras nasional 1.8 peratus, dengan Negeri Sembilan dan Labuan merekodkan kadar tertinggi, masing-masing 2.4 peratus. - Gambar hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Inflasi Malaysia meningkat 1.8 peratus pada September 2026 berbanding 1.9 peratus pada Ogos, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
  • Lapan negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras nasional, dengan Negeri Sembilan dan Labuan merekodkan kadar tertinggi iaitu 2.4 peratus.
  • Inflasi makanan dan minuman meningkat di semua negeri kecuali Kelantan yang merekodkan penurunan pada September 2026.

KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia meningkat 1.8 peratus pada September 2026 berbanding 1.9 peratus pada bulan sebelumnya, dengan mata indeks meningkat kepada 137.6 daripada 135.2 (September 2025), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM berkata peningkatan itu didorong oleh kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang meningkat perlahan kepada 1.4 peratus berbanding 2.1 peratus pada Ogos 2026.

Kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan turut menyederhana kepada 2.8 peratus berbanding 3.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Bagi kumpulan maklumat dan komunikasi serta makanan dan minuman, ia turut menyederhana masing-masing kepada 1.8 peratus dan 1.9 peratus berbanding 2.6 peratus dan 1.9 peratus pada bulan sebelumnya.

“Kumpulan kelengkapan, peralatan dan penyelenggaraan rutin isi rumah pula meningkat 0.3 peratus berbanding 0.4 peratus pada Ogos 2026,” menurut DOSM dalam kenyataan mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) September 2026 hari ini.

Sementara itu, lapan negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras nasional 1.8 peratus, dengan Negeri Sembilan dan Labuan merekodkan kadar tertinggi, masing-masing 2.4 peratus.

Ini diikuti Johor, Kedah dan Putrajaya pada 2.2 peratus setiap satu, Pahang (2.1 peratus) serta Selangor dan Sabah, masing-masing 1.9 peratus.

DOSM berkata semua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman kecuali Kelantan yang merekodkan penurunan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, inflasi keseluruhan meningkat secara marginal sebanyak 0.1 peratus pada September 2026 berbanding 0.3 peratus pada Ogos.

Inflasi kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan menyederhana kepada 0.4 peratus pada September berbanding 0.5 peratus pada Ogos.

Sementara itu, kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan turut mencatatkan penyederhanaan kepada 0.1 peratus berbanding 0.4 peratus pada bulan sebelumnya, kata jabatan itu.

DOSM berkata inflasi kumpulan makanan dan minuman serta kesihatan juga menyederhana kepada 0.1 peratus pada September berbanding 0.2 peratus pada Ogos.

Bagaimanapun, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain mencatatkan inflasi negatif 0.4 peratus, manakala kumpulan kelengkapan, peralatan dan penyelenggaraan rutin isi rumah merekodkan inflasi negatif 0.1 peratus pada September 2026, katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement