ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Baginda mengambil maklum cadangan pembangunan projek itu yang menjadi salah satu projek berimpak tinggi negeri, tidak diberi keutamaan ketika pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen pada 24 Februari lalu.

Sultan Sallehuddin menegaskan pembangunan projek berkenaan mampu merancakkan pembangunan ekonomi negeri dan wilayah utara, selain memberi manfaat menyeluruh kepada negara serta Kedah khususnya.

Baginda bertitah, perancangan untuk membangunkan projek KXP telah dimulakan sejak 2013 dan dalam tempoh tersebut sebanyak lima kajian kebolehlaksanaan telah dijalankan.

"Berdasarkan kepada kajian-kajian tersebut, pembangunan KXP bakal menjadi “Economic Game Changer” kepada Negeri Kedah dan berfungsi sebagai pelengkap kepada lapangan terbang sedia ada di utara tanah air melalui penyediaan perkhidmatan kargo yang lebih komprehensif dan disokong dengan pembangunan hub Maintenance, Repair & Overhaul (MRO)," titahnya.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keenam di Wisma Darul Aman, pada Ahad.

Tambah baginda, projek KXP yang dilaksanakan secara kaedah pembiayaan swasta (PFI) berperanan sebagai enabler kepada keseluruhan pembangunan Kedah Aerotropolis.

Ia turut merangkumi komponen lain seperti Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing Hub, Business Park dan pembangunan Airport City.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin turut menzahirkan harapan agar tahap profesionalisme yang tinggi membabitkan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan dapat diteruskan.

Titah baginda, perbincangan-perbincangan membabitkan kedua-dua pihak dalam menjayakan agenda pembangunan juga diharap dapat digiatkan demi kebaikan bersama.

Baginda turut percaya akan pentingnya keharmonian hubungan di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan agar fokus kerajaan terhadap penyelesaian isu dan permasalahan rakyat tidak terjejas.

Tambah Sultan Sallehuddin, negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik bagi memperolehi manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin turut berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang telah memperolehi banyak pencapaian membanggakan seperti berjaya menarik masuk pelaburan yang tinggi ke Kedah.

Pada 2022, negeri itu telah berjaya mencatat jumlah keseluruhan pelaburan masuk sebanyak RM13.1 bilion, manakala, khusus bagi sektor pembuatan adalah berjumlah RM12 bilion yang merupakan antara tertinggi dalam negara.