Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-Iz Petra berkenan berangkat ke majlis korban anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di Kota Bharu, hari ini.

Pada majlis itu, Sultan Muhammad V berkenan menyembelih dua daripada 60 ekor lembu yang disediakan pada majlis itu.

Baginda turut menyumbangkan dua ekor lembu untuk ibadah korban itu sempena Aidiladha yang disambut umat Islam semalam.

Turut berkenan menyumbangkan lembu korban pada majlis itu ialah Tengku Mahkota Kelantan yang juga Yang Dipertua Maik, Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan Al-Muhammadi, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan orang perseorangan.

Setiausaha Maik, Che Hamat Che Muda, berkata daging korban itu akan diagih kepada 1,500 penerima termasuk fakir miskin. Turut hadir Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan ketua jabatan persekutuan serta negeri.