Sultan Nazrin berkenan sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melepaskan para peserta Larian Hari Keputeraan Sultan Perak di Dataran Pavilion. - Foto BERNAMA
KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, berkenan menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak bersama-sama lebih 9,000 peserta di Dataran Pavilion di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak bersama lebih 9,000 peserta di Dataran Pavilion.
- Turut hadir Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, puteri baginda Raja Nazira Safya, dan adinda Sultan Nazrin Raja Datuk Seri Yong Sofia.
- Larian yang diadakan sempena Hari Keputeraan Sultan Perak ke-69 melibatkan aktiviti seperti persembahan tarian kebudayaan, pameran aset, dan demonstrasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Larian yang bermula pada 6.45 pagi itu diadakan sempena Hari Keputeraan baginda ke-69 yang disambut pada 7 Nov lepas.
Baginda kemudiannya, berkenaan menaiki kenderaan khas bersama Tuanku Zara dan Raja Nazira Safya untuk melawat beberapa check point, termasuk persembahan tarian kebudayaan serta pameran aset dan demonstrasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan melepaskan peserta bagi kategori 15 kilometer (km), 10km dan tujuh kilometer, manakala peserta kategori tetamu kehormat VIP yang membabitkan jarak 3km dilepaskan oleh Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Sebelum berangkat pulang, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menghadiri majlis jamuan santapan dan upacara penyampaian hadiah.
Bagi kategori 15 km, pemenang tempat pertama menerima wang tunai RM800 berserta plak, tempat kedua RM700 dan plak, serta tempat ketiga RM600 dan plak. Bagi kategori 10 km, pemenang tempat pertama menerima RM600 dan plak, tempat kedua RM500 dan plak, manakala tempat ketiga RM400 dan plak.
Larian kali ini, yang memasuki edisi ke-11, melibatkan kawasan kampung sekitar Mukim Sayong, Kota Lama Kanan, Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah serta beberapa lokasi lain.
Sepanjang laluan larian, pelbagai aktiviti dan persembahan disediakan, termasuk permainan tradisional gasing dan sepak raga, demonstrasi labu sayong, persembahan rebana, gendang Cina dan India, serta stesen kuih-muih dan makanan tradisional Perak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


