IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM16.86 juta daripada 11 syarikat korporat untuk diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.

MAIPk dalam kenyataan memaklumkan penyerahan itu didahului Tenaga Nasional Berhad diwakili Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pemegang Kepentingannya Datuk Shamsul Ahmad dengan zakat berjumlah RM6.36 juta, diikuti Lembaga Tabung Haji yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Hamadah Syed Othman dengan jumlah RM6.21 juta.

Turut menunaikan zakat Etiqa Family Takaful Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim dengan zakat berjumlah RM1.06 juta; Bank Rakyat diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Nor Haimee Zakaria (RM773,987); FGV Holdings Berhad diwakili Pengerusi Tan Sri Rastam Mohd Isa (RM707,199) dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad dengan RM500,000 yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Nor Azman Zainal.

Menurut kenyataan itu Ketua Eksekutif Maybank Islamic Berhad Datuk Mohamed Rafique Merican turut menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM437,597.51; Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad diwakili Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Perak, Mohd Rosli Basri (RM249,428.19), Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (RM241,303.47), Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid (RM221,294.26) dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Islamic Bank Berhad, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi (RM100,000).

Turut hadir Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Mufti Negeri Perak Datuk Wan Zahidi Wan Teh, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Harith Fadzilah Abdul Halim, Ketua Hakim Syarie Perak Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Shahrul Azam Shaari.

-- BERNAMA