Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) semalam, merupakan seorang raja bijaksana yang sering menzahirkan buah fikiran bernas dalam pelbagai bidang di dalam dan luar negara.

Diputerakan pada 27 Nov 1957, baginda yang merupakan putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah dan Tuanku Siti Bainun Mohd Ali, berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan daripada Universiti Harvard.

Sultan Nazrin, 59, turut memegang pelbagai jawatan antaranya Canselor Universiti Malaya dan Felo Kehormat Kolej Worcester, Oxford University.

Baginda turut dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Oxford University serta Felo ISIS (Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia) Terbilang.

Baginda juga ialah Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC) selain anggota Panel Peringkat Tinggi mengenai Pembiayaan Kemanusiaan di persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Sumbangan baginda sebagai anggota panel tersebut pernah mendapat sanjungan termasuk oleh Presiden Bulgaria Rosen Plevneliev pada Sidang Peringkat Tinggi mengenai langkah menangani pergerakan besar-besaran pelarian dan migran, yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) pada September lepas.

Baginda juga pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberi kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.

Sultan Nazrin diisytiharkan sebagai Sultan Perak pada istiadat pelantikan dan perisytiharan yang diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman jenazah ayahanda baginda pada Mei 2014.

Sultan Nazrin telah diijabkabul dengan Tuanku Zara Salim pada 17 Mei 2007 dan dikurniakan seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah dan seorang puteri Raja Nazira Safya.

Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.

Sultan Nazrin Shah juga terkenal dalam memberi teguran-teguran membina terhadap agensi kerajaan, institusi kerajaan dan badan bukan kerajaan bagi meningkatkan kualiti institusi berkenaan.

Baginda antaranya menitahkan supaya organisasi pengendali dana wakaf wajib diurus oleh pasukan yang menguasai kemahiran selain pengalaman dalam pengurusan kewangan, pelaburan dan pembangunan hartanah supaya dana serta harta wakaf berdaya produktif seterusnya berkembang maju.

Selain itu, baginda turut menegur syarikat-syarikat gergasi berkaitan kerajaan, diterajui oleh orang Melayu yang mempamerkan sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan, selain tidak menunjukkan sokongan bersungguh kepada badan-badan yang berjuang untuk terus mendaulatkan bahasa kebangsaan. - Bernama