Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah sebak sehingga mengesat air mata ketika menyampaikan titah ikrar ulung Baginda sebagai Sultan Pahang ke-VI pada Selasa.

Suara Tuanku tersekat-sekat ketika membaca bahagian Titah Diraja di mana Baginda sedang menyentuh mengenai Ayahandanya Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

“Saya turut insaf dan merasa kerdil pula tubuh ini, kerana takhta ini diwarisi dari ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billa ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Shah.

"Baginda merupakan seorang raja pemerintah yang adil, berbudi luhur bukan kepalang dan dikasihi serta disanjungi oleh setiap lapisan rakyat. Legasi pemerintahan Paduka Ayahanda tiada bandingannya. Ia akan terpahat segar dalam lipatan sejarah," titah Tuanku.

Kesedihan beliau turut dirasai Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga mengesat air mata titah disampaikan di Balairung Seri dan Dewan Santapan.

Terdahulu, pengisytiharan Tuanku sebagai Sultan Pahang ke-enam, dibaca oleh Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman.

Pelantikan Sultan Abdullah dipersetujui Majlis Jumaah Pangkuan Diraja dalam satu mesyuarat khas di Kuala Lumpur, 11 Jan lepas, bagi menggantikan ayahandanya yang sedang gering.

Antara tetamu kenamaan yang dilihat menghadiri istiadat itu selain Kerabat terdekat, ialah Ahli Majlis Jumaah Pangkuan Diraja termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Orang Kaya Indera Syahbandar, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ahmad, Menteri-Menteri Kabinet dan barisan exco negeri.