KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut atas tindakan pantas membantu menyediakan bekalan elektrik kepada sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, di sini.
Baginda menzahirkan rasa sukacita apabila keluarga tiga beranak yang hampir 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik itu akhirnya menikmati kemudahan itu hasil tindakan segera pihak berkaitan.
"Baginda turut menzahirkan harapan agar semua pihak berkaitan dapat bertindak lebih proaktif dalam memastikan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan infrastruktur lain dapat disediakan dengan sewajarnya kepada rakyat di seluruh negeri Pahang, khususnya di kawasan pedalaman.
"Baginda sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat serta mahu setiap lapisan masyarakat di negeri ini menikmati kemudahan asas yang sempurna demi kesejahteraan hidup yang lebih baik," menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Sebelum ini, kisah keluarga terbabit mendapat perhatian ramai selepas mereka menahan konvoi kenderaan Sultan Pahang ketika melalui Kampung Kuala Sat dengan memegang plakad bertulis “Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap” bagi mengadu masalah yang dihadapi.
Baginda yang memandu sendiri ketika itu berkenan berhenti sebelum mendengar sendiri luahan keluarga berkenaan yang memaklumkan mereka telah sekian lama hidup tanpa bekalan elektrik di kediaman mereka.
Susulan aduan itu, pihak TNB bersama Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut segera mengambil tindakan dengan memasang peralatan serta kemudahan berkaitan sebelum bekalan elektrik berjaya disalurkan ke rumah keluarga terbabit hari ini.
Badinda Al-Sultan Abdullah sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat dan mahu setiap lapisan masyarakat di negeri ini menikmati kemudahan asas yang sempurna demi kesejahteraan hidup yang lebih baik.