IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Amal bersama Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang di Hotel Casuarina@Meru di sini, malam tadi.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira pada jam 8.10 malam disambut Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Khairudin Abu Hanipah, Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang Muhammad Hamzah Md Hamdan dan pengerusi program Norali Nordin.

Muhammad Hamzah di dalam sembah ucapan berkata, majlis makan malam itu bertujuan mengumpul dana bagi melaksanakan aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun 2024 dan 2025.

Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat tiba pada Majlis Makan Malam Amal anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang di Ipoh malam tadi.  --fotoBERNAMA

“Kami amat memahami bahawa sumbangan ini tidaklah dapat menampung sepenuhnya keperluan pertubuhan-pertubuhan ini.

“Namun kami sentiasa berdoa agar mulai saat ini ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Norali memberitahu, majlis malam amal berjaya mengumpul lebih RM500,000 hasil jualan 67 meja.

Dalam masa sama, katanya pihak kelab mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk mereka melaksanalan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Foto Astro AWANI

Foto Astro AWANI

“Tumpuan kami adalah dalam bidang pendidikan, khususnya untuk masyarakat Orang Asli seperti di Sungai Siput bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Dalam masa sama, kami juga memberi penekanan kepada usaha untuk membantu meningkatkan ekonomi mereka seperti menganjurkan kursus-kursus yang sesuai,” ujarnya.

Pada majlis itu, Kelab Bakti Gunung Keledang menyerahkan sumbangan RM200,000 kepada 10 buah rumah kebajikan dan sebuah maahad tahfiz.

Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini melakukan persembahan pada Majlis Makan Malam Amal anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang di Ipoh malam tadi. --fotoBERNAMA

Dalam pada itu, Hael Husaini mendendangkan lagu Jampi, Peluang Kedua, Hajat, Aku Cinta Pada Mu, Can’t Take My Eye On You manakala Dayang Nurfaizah pula menyampaikan lagu Di Pintu Syurga, You Are Everything To Me, The Greatest Love Of All, Ketipang Payung, Umpan Jinak Di Air Tenang di samping lagu duet mereka berdua Haram.