IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan dana khas bantuan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 berjumlah RM 14.6 juta, yang disalurkan menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Dana khas itu bertujuan membantu mereka yang terjejas, susulan sekatan yang dikenakan di bawah PKP 3.0, menurut Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Katanya, ia antara lain membabitkan bantuan kelangsungan hidup untuk meringankan kesulitan yang sedang dihadapi rakyat jelata yang kehilangan sumber pendapatan.

"Selain itu, tajaan pembelian peralatan rawatan dan perubatan yang diperlukan segera, bantuan pakej tablet dan data internet kepada usahawan kalangan asnaf dan para pelajar daripada keluarga miskin.

"Bantuan kepada pelajar di sekolah/pusat tahfiz, institut pengajian tinggi dan di luar negara, peruntukan untuk kebajikan para petugas keselamatan di barisan hadapan.

"Bantuan kepada rumah-rumah anak yatim, rumah orang tua, warga emas dan pusat gelandangan serta peruntukan untuk mempercepatkan program vaksinasi kepada kumpulan sasar yang perlu diutamakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, Sultan Perak memahami tugas berat dihadapi para petugas barisan hadapan yang memerlukan peralatan rawatan dan perubatan tertentu untuk menangani wabak.

Selain itu, baginda turut peka terhadap kebajikan para petugas keselamatan di barisan hadapan dan menitahkan MAIPk menyediakan dana khas bantuan untuk membiayai keperluan pihak yang berkenaan.

"Bantuan kecemasan kelangsungan hidup berjumlah RM10.9 juta untuk ketua isi rumah (KIR) dan penerima bantuan kewangan bulanan MAIPk yang terjejas sumber pendapatan kerana diberhentikan kerja, tidak dapat menjalankan perniagaan, diberi cuti tanpa gaji kerana majikan menghentikan operasi atau atas sebab yang munasabah.

"Tajaan peralatan kesihatan dan perubatan RM606,000 berbentuk peralatan rawatan dan perubatan yang diperlukan segera oleh Jabatan Kesihatan Perak bagi kegunaan petugas medan di barisan hadapan.

"Sumbangan untuk petugas barisan hadapan COVID-19, RM400,000 disalurkan melalui agensi berkaitan untuk keperluan kebajikan petugas barisan hadapan," katanya.

Mohd Annuar berkata, selain itu, turut diumumkan bantuan pakej tablet dan data internet untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian dan bagi pelajar sekolah berjumlah RM1.5 juta.

Sultan Nazrin juga turut mengumumkan:

- Pemberian tablet dan data internet kepada usahawan daripada kalangan asnaf dan pelajar Tingkatan 5 daripada kalangan KIR fakir miskin;

- Bantuan kebajikan RM200,000 untuk anak Perak yang belajar di luar negara termasuk Mesir, Jordan dan Indonesia;

- Sumbangan untuk pusat jagaan anak yatim, rumah orang tua dan warga emas Islam RM400,000 sebagai bantuan operasi;

- Tajaan bekalan makanan RM200,000 untuk pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah/maahad tahfiz di Perak yang perlu menginap di tempat pengajian semasa tempoh PKP; dan

- Sumbangan ke pusat gelandangan sementara di bawah kendalian kerajaan negeri RM200,000.

Sementara itu, ujar Mohd Annuar, turut diperuntukkan RM200,000 untuk Program Vaksinasi COVID-19 MAIPk.

"Disediakan rizab untuk membiayai belanja vaksinasi kepada kumpulan yang dikenal pasti perlu disegerakan mendapat vaksinasi," tambahnya.

Jelasnya, MAIPk turut memberi pengecualian bayaran sewa dan pajakan hartanah wakaf berjumlah RM98,000 dan hartanah baitulmal berjumlah RM50,000 di premis miliknya bagi Jun 2021.