SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan perutusan takziah kepada waris dan keluarga tokoh pendidikan negara Tun Arshad Ayub, 93, yang meninggal dunia semalam.

Menerusi hantaran di akaun Facebook, Selangor Royal Office memaklumkan, Sultan Sharafuddin mengagumi usaha-usaha Allahyarham yang mempunyai visi dan pandangan jauh dalam merancang sesuatu perkara, di samping mempunyai pendirian bahawa sesuatu kejayaan yang cemerlang boleh dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan komitmen yang berterusan.

Menurut kenyataan tersebut, Arshad pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan dan merupakan perintis kepada pembangunan Institut Teknologi MARA yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Penubuhan UiTM yang diasaskan Allahyarham adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik terutama dari luar bandar melalui program-program yang diadakan di UiTM.

"Visi dan perancangan Allahyarham ini telah menghasilkan ramai para profesional dan ilmuan yang diiktiraf oleh antarabangsa. Allahyarham Tun Dr Arshad Ayub telah mencurahkan sebahagian besar tenaga dan usianya kepada pembangunan UiTM," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sebagai menghargai usaha Arshad dalam membangunkan UiTM yang Kampus Induknya terletak di Selangor, baginda telah mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama, Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datuk Seri.

"Sesungguhnya negara telah kehilangan seorang tokoh pelopor inovasi pendidikan dan pentadbiran yang sukar dicari ganti," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut baginda berdua berharap balu Allahyarham Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan waris keluarga tabah menerima ketentuan Allah dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Allahyarham sebelum ini dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan, sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 2.06 pagi semalam.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan tujuh orang anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan. - BERNAMA