KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan nazir di semua masjid seluruh negeri memperuntukkan sebahagian daripada kewangan masjid bagi menyediakan kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk merekod serta memantau semua aktiviti ceramah.

Sultan Sharafuddin bertitah kelengkapan ICT di masjid akan memberi manfaat kepada pihak masjid dan ahli kariah kerana setiap perjalanan ceramah dibuat secara langsung atau dalam talian boleh dikongsi oleh mereka yang tidak hadir ke majlis ilmu tersebut, selain mudah dirujuk semula apabila diperlukan.

Baginda bertitah masjid boleh berfungsi dengan lebih baik sebagai pusat maklumat yang boleh membekal data kepada semua agensi agama seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ahli kariah serta pihak lain.

"Melalui penggunaan teknologi (ICT) juga, MAIS boleh memantau dan menyemak laporan kewangan semua masjid dan surau dengan kaedah dalam talian. Ini boleh mengelak berlaku penyelewengan dalam pengurusan kewangan masjid dan surau di negeri ini," titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian semasa istiadat pengurniaan watikah pelantikan kepada 1,256 nazir dan imam masjid di seluruh Selangor, di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke istiadat itu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin turut menasihatkan semua nazir dan imam masjid agar dapat mentadbir masjid dengan cekap, efisien, telus dan profesional.

"Sebarang keputusan yang diambil oleh nazir serta jawatankuasa hendaklah mengikut undang-undang dan peraturan serta titah beta. Kegagalan mematuhi segala peraturan dan titah beta membolehkan tindakan penguatkuasaan undang-undang dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab," titah baginda.

Baginda juga berharap dan menasihatkan para pegawai masjid khususnya nazir dan imam supaya terus memelihara kemuliaan institusi masjid daripada dicemari oleh elemen yang boleh merosakkan akidah, perpaduan dan kesatuan ummah.

Dalam pada itu, Sultan Selangor juga mengingatkan program bagi memakmurkan masjid seperti kuliah, ceramah dan tazkirah hanya boleh disampaikan oleh mereka yang mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS.

Baginda bertitah bagi penceramah luar negara, mereka dibenarkan menyampaikan kuliah, ceramah dan tazkirah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, Masjid Diraja Sultan Sulaiman di Klang dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di Cyberjaya sahaja.

-- BERNAMA