MALAYSIA
Sultan Selangor zahir dukacita, gesa berhenti guna perkataan 'Sisters in Islam'

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menulis titah berkenaan dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa SIS Forum Malaysia berhenti menggunakan perkataan 'Sisters in Islam' ke atas sebarang bentuk penerbitan di platform dikaitkan dengan syarikat mereka.
Tegas baginda, ini supaya perkataan 'Islam' tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat terbabit.
Dalam hantaran di akaun Facebook rasmi baginda pada Khamis, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, yang mengisytiharkan bahawa Fatwa Pemikiran Liberalism dan Pluralisme Agama, tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia).
Fatwa bertarikh 31 Julai 2014 itu dikatakan tidak terpakai untuk pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu. Turut dilampirkan bersama hantaran itu adalah kenyataan media Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung perkembangan terbaharu berkenaan.
"Baginda senada dengan isi kandungan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada Khamis, berhubung keputusan terbaharu ini," titah Sultan Selangor.
Dalam kenyataan tersebut, MAIS menegaskan pendirian tidak sependapat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berikutan beberapa justifikasi diberikan.
"Keputusan Mahkamah Persekutuan itu secara tidak langsung mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan Hukum Syarak.
"Juga timbul kebimbangan daripada kes ini membuka ruang kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat atau pertubuhan bagi menyebarkan ajaran sesat berkaitan Islam.
"Walaupun syarikat terlibat bukan 'orang sebenar' yang boleh menganut agama Islam, namun syarikat ini tertakluk kepada fatwa berdasarkan nama SIS iaitu Sisters in Islam yang jelas menunjukkan identiti Islam," jelas MAIS.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami