KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) berikrar memberikan sumbangan berjumlah RM420,000 untuk misi bantuan banjir kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Kedutaan AS di Kuala Lumpur berkata bantuan yang dibuat melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat akan menyokong penyediaan perkhidmatan kesihatan kepada isi rumah yang terjejas banjir di Malaysia, termasuk rawatan perubatan, pencegahan penyakit dan perkhidmatan kesihatan mental.

"Kedutaan AS di Kuala Lumpur, bagi pihak rakyat Amerika, melahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir di Malaysia baru-baru ini," kata kedutaan itu dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Sementara itu, Kuasa Usaha Kedutaan AS Michael Newbill dalam kenyataan sama berkata beliau dan rakan-rakannya berharap dana itu akan membantu penduduk yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

"Saya dan rakan sekerja turut bekerjasama mengumpul dana bagi membantu ahli komuniti kedutaan kami yang rumah dan keluarga mereka turut terjejas akibat banjir.

"Kami menghargai usaha gigih Bulan Sabit Merah Malaysia dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah Dan Bulan Sabit Merah dalam bertindak semasa bencana ini, dan atas kerja berterusan mereka menyokong usaha bantuan COVID-19," katanya dalam kenyataan itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Hakim Hamzah berkata sumbangan dana dari AS itu akan menjadi bantuan besar dalam usaha berterusannya, yang menyediakan bantuan lanjut termasuk makanan, air selamat, bekalan perubatan dan kit kebersihan kepada orang ramai di seluruh kawasan yang paling teruk terjejas di Malaysia.

Bencana alam, termasuk banjir besar, yang melanda beberapa negeri di Malaysia meragut hampir 50 nyawa setakat ini, dengan lima lagi dilaporkan hilang.

Angka kematian adalah yang tertinggi dalam sejarah bencana banjir di Malaysia, dengan sebahagian besar korban direkodkan di Lembah Klang dan Selangor.

Banjir itu berlaku berikutan hujan lebat berterusan selama dua hari, mengakibatkan beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat, Shah Alam, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling dan Kuala Lumpur di Lembah Klang, serta Bentong, Mentakab dan Temerloh di Pahang ditenggelami air.

-- BERNAMA