PETALING JAYA: Seorang lagi lelaki yang dikaitkan dengan kes penemuan mayat dalam guni di Taman Bukit Serdang empat minggu lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kerani lelaki warga India.

Pemandu lori, S Dorairaj, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama-sama tiga lelaki, menyebabkan kematian seorang kerani, A Vinayagamoorthy, 41, di tapak besi buruk, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini pada jam 1.30 tengah hari, 4 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh kerana pertuduhan itu termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh membantah perkara itu dengan menyatakan bahawa mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan.

"Sekiranya terdapat syarat tambahan, tertuduh bersedia mematuhinya," kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Faiz membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Dua minggu lalu, tiga beranak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di mahkamah ini.

Mereka ialah peniaga barang lusuh, V Nanta Kumar, 51, dan dua anaknya, Miren Ram, 24, dan Krithik Ram, 22.

Pada 6 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan, satu mayat lelaki warga asing ditemui dalam guni di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang dekat sini, dipercayai dipukul sehingga mati.

Seramai 13 individu iaitu 10 lelaki dan tiga wanita termasuk majikan mangsa, ditahan bagi membantu siasatan. - Sinar Harian