Ahli Exco Selangor, Elizabeth Wong Keat Ping dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keadaan Sungai Selangor yang telah dicemari diesel dijangka akan pulih seperti sedia kala sekitar jam 8 malam nanti.

Sungai Selangor dilaporkan telah mengalami pencemaran berikutan tumpahan minyak diesel sekitar sungai tersebut yang menyebabkan proses merawat air di loji rawatan air terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Menurut Elizabeth, Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor (JKPSA) yang dipengerusikan oleh Elizabeth selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, dan diurusetiakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah diaktifkan untuk menjalankan siasatan di lokasi.

“LUAS bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (SPLASH) dan Puncak Niaga Sdn. Bhd (PNSB) telah menjalankan siasatan dengan menjejaki kesan tumpahan minyak tersebut hingga ke punca dan mendapati ianya berasal daripada Sungai Gong.

“Pada jam 10.50 pagi, tumpahan minyak diesel tersebut dikenal pasti adalah berpunca daripada sebuah pusat penyelenggaraan lori sampah di kawasan industri lokasi berkenaan,” katanya.

Premis tersebut juga telah diarahkan oleh JAS untuk menghentikan operasi dan juga tumpahan minyak daripada premis serta arahan pembersihan juga telah dikeluarkan kepada premis untuk dilaksanakan.

Sementara itu, Elizabeth memaklumkan pihak operator loji telah meletakkan ‘oil boom’ untuk mengurangkan kadar minyak yang mengalir ke muka sauk.

Katanya sehingga sekarang, punca pencemaran dapat dikawal dan tumpahan minyak tersebut tidak lagi memasuki sungai di mana ianya banyak terkumpul di oil boom yang dipasang.

“Kesan minyak di Sungai Selangor juga adalah minimum dan dijangkakan keadaan sungai akan kembali pulih seperti biasa pada lingkungan jam 8 malam setelah kerja-kerja pembersihan selesai,” jelasnya.

Bagaimanapun, kerja-kerja pemantauan yang ketat tetap dijalankan dengan berterusan untuk memastikan tiada sebarang pencemaran lain yang berlaku.

Maklumat berkenaan tumpahan minyak diesel ke dalam Sungai Selangor telah diterima oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) daripada pihak operator loji pada jam 8 pagi tadi.

Ekoran daripada perkara tersebut, pembersihan air (LPA) Rantau Panjang telah menghentikan operasinya pada jam 8.05 pagi disebabkan oleh kehadiran minyak diesel yang dikesan di muka sauk loji, diikuti oleh tiga lagi LPA utama di Lembangan Sungai Selangor yang juga menghentikan operasi pada jam 9.20 pagi bermula dengan LPA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan seterusnya Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) yang terletak bersebelahan di antara satu sama lain.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebelum ini telah memaklumkan bahawa pihaknya telah mengesan tumpahan minyak diesel di hulu sungai sekitar jam 8 pagi tadi.

Antara kawasan yang terjejas adalah kawasan Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sehubungan itu pihak Syabas menasihatkan pengguna air di kawasan-kawasan berkenaan agar menggunakan air simpanan secara berhemah bagi menghadapi gangguan tersebut.

Di samping itu Syabas juga akan menyediakan 42 lori tangki air dan 515 tangki statik sebagai bantuan sementara.