GEORGE TOWN: Siri sambutan keceriaan tahunan Kumpulan Sunway (Sunway) kembali dengan #SunwayforGood Sinar Ramadan bagi berkongsi kegembiraan kepada lebih 4,000 komuniti masyarakat kurang bernasib baik di seluruh negara.

Menerusi iniasitif tersebut, lima program khas akan berlangsung di lima buah negeri bermula di Johor diikuti Perak, Penang, Terengganu dan Selangor.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata inisiatif Sinar Ramadan Sunway adalah sebahagian daripada misi berterusan bagi memartabatkan masyarakat melalui kekuatan perpaduan dan kolektif.

“Kami berterima kasih atas sokongan daripada rakan kongsi, termasuk Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Yayasan AIDS Malaysia (MAF), dan banyak lagi kerana sentiasa menggariskan komitmen bersama dalam menjaga kebajikan masyarakat.

“Bersama-sama kita menuju ke jalan penuh ihsan, mencerminkan nilai teras dan menyemarakkan lagi bulan Ramadan," katanya pada acara #SunwayforGood Sinar Ramadan Pulau Pinang di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang.

Sunway juga berkesempatan mengagihkan barangan keperluan harian, duit raya dan menyediakan hidangan berbuka puasa untuk anak-anak di rumah anak yatim tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman Hashim, berkata penganjuran Sunway Sinar Ramadan 2024 adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Kumpulan Sunway.

“Sudah menjadi tradisi Sunway setiap tahun untuk membawa senyuman dan menyebarkan keceriaan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik di seluruh negara semasa musim perayaan, termasuk Tahun Baru Cina dan Deepavali,” ujarnya.

Kehadiran Selebriti Sokongan Riben Merah MAF seperti pelakon terkenal Datuk Aaron Aziz dan pelawak popular Dee yang turut serta sebagai sukarelawan menambahkan lagi keterujaan dan kemeriahan program itu.

Sunway juga telah menubuhkan perpustakaan di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang di bawah program Sunway Reading Enhances Aspiration and Drive (READ)

Perpustakaan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen Sunway untuk membina atau membaik pulih 50 perpustakaan menjelang 2024 bersempena ulang tahun ke-50 Sunway.

Selepas acara di Pulau Pinang, #SunwayforGood Sinar Ramadan akan diteruskan di Selangor dan Terengganu minggu hadapan, sebelum acara grand final bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pada 24 April 2024 di Hotel Sunway Resort.