KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil tindakan lebih awal bagi menghadapi kemungkinan Super El Nino, terutama untuk mengelakkan tekanan terhadap bekalan air, makanan, kesihatan awam dan sektor ekonomi.
Ahli Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN), Mogesh Sababathy berkata, impak paling membimbangkan bukan semata-mata suhu tinggi, sebaliknya kesan apabila cuaca panas berlaku serentak dengan kekurangan hujan untuk tempoh panjang.
“Dalam keadaan seperti itu, kadar kehilangan air melalui penyejatan meningkat, kelembapan tanah yang berkurang dan juga aliran sungai yang boleh turut merosot dan juga simpanan empangan juga yang akan menerima tekanan,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Jelas beliau, Malaysia sememangnya mempunyai sistem ramalan cuaca dan struktur pengurusan bencana yang kukuh, namun kewujudan sistem serta pelan semata-mata tidak mencukupi.
“Kita juga perlu memastikan sama ada pelan-pelan ini mempunyai pencetus tindakan yang jelas dan juga sama ada agensi-agensi berkaitan ini berkongsi data dengan pantas... berkongsi maklumat dengan segera kepada golongan yang paling memerlukan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran, gangguan terhadap pengeluaran domestik boleh menjejaskan keterjaminan makanan, termasuk risiko turun naik harga dan persaingan mendapatkan bekalan daripada pasaran antarabangsa.
Menurutnya, pengalaman Malaysia berdepan episod El Nino pada 1997-1998 dan 2015-2016 perlu dijadikan pengajaran supaya tindakan tidak hanya diambil selepas krisis berlaku.
Beliau mencadangkan langkah awal perlu merangkumi penyelarasan jadual penanaman berdasarkan ramalan cuaca, pemeriksaan sistem pengairan, penyediaan varieti tanaman lebih tahan haba serta sokongan kepada petani yang mengalami kehilangan hasil.