KUALA LUMPUR :Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menempelak tindakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang didakwa menghantar surat kepada Ahli Parlimen menggesa sidang diadakan dalam masa terdekat. 

Menurut Annuar, tindakan itu boleh ditafsirkan sebagai percubaan menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang berkenan mengisytiharkan darurat pada 12 Januari lepas.

Tambahnya, tindakan Ahli Parlimen Pontian itu juga tidak pernah dibincang atau diputuskan parti, malah ia bercanggah dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

“Kalau sudah "menjunjung titah”, dan itu keputusan parti, mengapa pula YB Dato Seri cuba membelakangi kenyataan rasmi Presiden Parti?

“Surat YB Dato Seri adalah suatu pelanggaran etika berorganisasi, menghina keputusan parti dan boleh ditafsirkan sebagai percubaan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Wilayah Persekutuan itu juga menegaskan surat dihantar Ahmad itu mengandungi kesilapan besar dalam mentafsirkan Fasal 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga satu usaha jelas untuk terus bersekongkol dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP yang sebelum ini meminta perkara sama dilakukan oleh ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Justeru, Annuar meminta surat itu ditarik balik.


Annuar menegaskan beliau mahu surat itu ditarik balik dan beliau tidak bersetuju dengan kandungan surat berkenaan.

“Saya tidak bersetuju sama sekali dengan tindakan yang tidak "constitutional" serta bercanggah dengan dasar dan keputusan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) parti,” tegasnya.

Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan itu juga menegaskan surat dihantar Ahmad itu mengandungi kesilapan besar dalam mentafsirkan Fasal 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 150(3) yang dirujuk bermaksud untuk membentangkan (bagi tujuan pemakluman kepada Parlimen) tentang Proklamasi dan Ordinan atau Undang-Undang yang di buat bagi tujuan pengisytiharan (proclamation) darurat.

“ Fasal 150(3) tidak menyatakan atau tidak bermaksud mensyaratkan Parlimen bersidang secepat mungkin atau mewajibkan Parlimen bersidang serta merta selepas proklamasi darurat dibuat Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.

Kenyataan sama turut dikeluarkan Annuar di akaun Twitter beliau.