Jika sebelum ini rakyat berpeluang menyelami kisah percintaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui laporan media, kini, bukti romantis penyatuan cinta pasangan diraja itu boleh disaksi secara 'fizikal'.

Bermula dari sepucuk surat hasrat untuk memperjodohkan Sultan Abdullah yang dihantar oleh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah kepada ayahanda Tunku Azizah, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, hinggalah kepada dokumen pernikahan Seri Paduka berdua, item istimewa itu antara yang akan dipamerkan kepada umum pada 'Pameran Raja Kita' yang akan diadakan di Muzium Diraja, Istana Negara Lama, Jalan Istana.

"Pada pameran kali ini rakyat pasti akan tertarik dengan koleksi dua pucuk surat iaitu surat hasrat memperjodohkan Seri Paduka berdua yang diutuskan Almarhum Sultan Ahmad Shah dan dikirim balas oleh Almarhum Sultan Iskandar yang menyatakan persetujuan terhadap hasrat itu.

"Selain itu, beberapa dokumen pernikahan seperti buku atur cara pernikahan, sijil nikah, serta alas tempat akad nikah turut dipamerkan," menurut Pengarah Muzium Diraja Miti Fateema Sherzeella Mohd Yusoff.

BACA JUGA: Tidak pernah ber'dating', Raja Permaisuri Agong kenang cinta 'padang polo'

Bercakap kepada Bernama, Miti Fateema Sherzeela berkata koleksi persalinan Seri Paduka berdua termasuk pakaian semasa majlis akad nikah dan acara memotong kek serta 'blouse' dengan gabungan rona merah, hitam dan kuning yang dipakai Tunku Azizah semasa janji temu pertama bersama Seri Paduka juga antara tarikan pada pameran yang akan berlangsung selama tiga bulan, bermula Selasa ini.

Sebanyak 198 koleksi peribadi Seri Paduka berdua serta alat kebesaran diraja yang dipinjam dari Istana Negara, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Muzium Sultan Abu Bakar, Istana Abdulaziz dan Istana Abu Bakar akan dipamerkan pada pameran itu bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Selasa lepas.

Miti Fateema Sherzeella berkata, kesemua koleksi yang dipamerkan di Pameran Diraja itu diperoleh hasil kajian pihaknya bermula April lepas yang turut dibantu oleh beberapa agensi termasuk Jabatan Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Arkib Negeri Pahang.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Koleksi Jabatan Muzium Zainal Ariffin, berkata selepas penyelidikan dijalankan dan koleksi dikenalpasti, pihaknya bertanggungjawab untuk menguruskan perolehan koleksi untuk dipamerkan.

"Tidak semua barang yang dikemukakan oleh pasukan yang menjalankan kajian awal akan diperoleh kerana ia perlu mendapat perkenan Seri Paduka dan terdapat juga koleksi yang dipilih sendiri Seri Paduka Raja Permaisuri untuk dipamerkan kepada rakyat," katanya.

Menjelas lanjut, Zainal berkata kesemua koleksi yang diperoleh akan diteliti oleh pasukan konservasi terlebih dahulu bagi menilai keadaannya sekiranya terdapat kerosakan yang perlu dibaik pulih.

Pasukan konservasi juga bertanggungjawab untuk menjalankan kerja-kerja pencegahan kerosakan, pemantauan sistem kawalan suhu dan pencahayaan, pembungkusan serta pemeliharaan koleksi berharga itu.

"Antara contoh kerja konservasi yang dilakukan ialah sekiranya barang koleksi didapati berkulat pasukan konservasi akan mengilatkan semula barangan itu atau jika koleksi pakaian ada bahagian yang koyak dan manik tertanggal kita akan mencantum dan menjahit semula bahagian itu dengan teliti yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan," katanya.

Zainal berkata setiap koleksi yang dipamerkan juga akan diinsuranskan dan dalam pengawalan ketat bagi memastikan keselamatan barangan itu sentiasa terjamin sepanjang proses perolehan, konservasi, pameran dan penghantaran semula semua barangan berharga itu.


Penolong Pengarah Bahagian Pameran dan Pengembangan Jabatan Muzium Malaysia, Rosidah Abdullah pula berkata pameran kali ini menggunakan pendekatan baharu melalui aplikasi teknologi kod realiti terimbuh atau Augmented Reality' (AR) code, hologram dan interaktif.

Beliau berkata lebih istimewa ialah kalung diraja dan gendik diraja iaitu antara pakaian istiadat diraja yang digunakan Raja Permaisuri Agong pada Istiadat Pertabalan, akan dipamerkan secara eksklusif hanya pada hari perasmian dan pembukaan kepada umum, Selasa ini.

"Bagaimanapun selepas hari berkenaan, ia hanya akan boleh dilihat oleh pengunjung melalui kaedah hologram," katanya.

Pameran yang menyasarkan 50,000 pengunjung itu terdiri daripada 12 segmen, antaranya sistem pemerintahan beraja, biografi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, sejarah kesultanan negeri Pahang, pakaian istiadat pertabalan dan proses pemilihan dan pelantikan Yang di-Pertuan Agong.

-- BERNAMA