NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menafikan mengeluarkan surat mengarahkan pelajarnya hadir ke program Temu Anwar Negeri Sembilan yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor universiti itu pada Sabtu.

Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm) USIM berkata, pihak universiti tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk surat seperti yang ditularkan dan ia adalah palsu.

"Pihak USIM mengambil perhatian serius di atas penularan surat palsu di media sosial pada 24 Jun 2023 berkaitan kerahan kepada pelajar untuk menghadiri program Temu Anwar di Negeri Sembilan.

"Satu laporan polis telah dibuat dan pelaporan kepada aplikasi media sosial di atas pelanggaran peraturan dan syarat perkhidmatan terhadap akaun berkaitan telah dilakukan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, USIM amat kesal di atas penghasilan dan penularan surat dan maklumat yang tidak berasas itu.

Sementara itu, menerusi surat berkenaan turut dinyatakan kehadiran pelajar adalah diwajibkan dan sebarang alasan tidak menghadiri program itu perlu dilampirkan dengan surat rasmi. -Sinar Harian