BACHOK: Kejayaan lima suri rumah di Beris Kubur Besar, Bachok di sini menanam sayuran secara hidroponik menjadi contoh kepada wanita lain di negeri ini untuk menjana pendapatan daripada sumber itu.

Pencetus idea dan Ketua Projek Tanaman Mikro Green, Davina Henry Ugis berkongsi permulaan beliau menanam sayuran melalui kaedah itu ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 lebih dua tahun lalu.

Beliau kemudian mula memberi tunjuk ajar kepada empat lagi rakan, Normi Syaimaa Azlee, 26; Siti Maheran Mohamed, 32; Siti Musfirah Jaafar, 37; dan Khazimah Yusof, 54.

Davina juga berbangga kerana tanaman yang diusahakan kumpulan itu di Rumah Tamu, Bachok dengan hanya bermodalkan RM200 mula mendapat perhatian masyarakat setempat.

Menurut beliau, penanaman hidroponik itu dimulakan dengan sawi dan pakcoy hanya menggunakan kapas bantal lama, bekas terbuang dan botol plastik.

"Span itu dibasahkan dan dimasukkan ke dalam bekas lama sebelum benih yang dibeli melalui dalam talian disemai," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Davina berkata, pada permulaan beliau hanya menggunakan 10 bekas sahaja untuk menanam sayuran tetapi kini sudah mampu menanam lebih 2,000 pokok membabitkan sawi, kangkung, bayam dan beberapa jenis sayur lain.

Wanita gigih ini kemudiannya berbincang bersama suami, Mohd Zulkifli Zakaria, 62, untuk menambah jumlah tanaman selain berhasrat mengkomersialkan sayuran hidroponik.

Justeru, atas persetujuan bersama, mereka mula memelihara ikan talapia menggunakan sistem elektrik yang dipelajari melalui internet dan najis ikan itu disalurkan ke tanaman.

Idea itu berjaya apabila sayur pakcoy yang ditanam mencapai berat 400 gram sepokok.

Ibu kepada tiga anak, Mohammad Dzull Danish Mohd Zulkifli, 19; Nur Dzull Durany Mohd Zulkifli, 17 dan Mohd Dzull Dihishwar Mohd Zulkifli, 12, itu kini boleh menarik nafas lega kerana usahanya berjaya dan turut memberi peluang menambah pendapatan kepada penduduk setempat.

"Kami mula menjual sayur-sayuran ini pada Ogos tahun lalu dan beberapa bulan kemudian memprosesnya untuk menjadikan teh dan mi sayur. Alhamdulillah mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.

"Kami turut menerima tempahan daripada seluruh negara tetapi buat masa ini masih tidak mampu membekalkan produk terbabit," katanya.

Sementara itu, Siti Musfirah berkata, beliau menyertai projek berkenaan kerana minat bercucuk tanam selain kaedah hidroponik yang mudah dan cepat mengeluarkan hasil.

"Alhamdulillah saya dan rakan lain mendapat bimbingan Davina. Kami kini berusaha untuk mengeluarkan lebih banyak sayur-sayuran kerana mendapat permintaan penduduk setempat.

"Saya ada masa untuk menyertai projek ini kerana hanya membantu suami menyiapkan perniagaan secara kecil-kecilan di kampung," katanya.

Bagi Normi pula, percubaan secara suka-suka membawa kepada minat yang mendalam kerana tanaman hidroponik tidak mengambil masa lama untuk dituai.

Menurut Normi, tanaman berkenaan sesuai untuk anak muda kini untuk menjana pendapatan di kampung sendiri.

"Lagipun tanaman jenis ini boleh diperluaskan kerana mampu menambah pendapatan keluarga selain mengisi masa lapang yang lebih berfaedah," katanya.

Tambah Normi, kumpulan mereka turut memperluaskan tanaman kepada produk lain yang lebih sihat dan berkhasiat.

"Hasil jualan sayur juga boleh menambah pendapatan keluarga sebanyak RM200 sebulan," katanya.

Usaha mereka ternyata berbaloi apabila mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang mengadakan lawatan di Rumah Tamu, Bachok pada Jumaat.

Rina juga berhasrat memperluaskan projek tanaman itu ke seluruh negeri melalui KADA dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian


Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !