Seorang suri rumah panik seketika apabila melihat seekor daripada kucing peliharaannya sedang dibaham ular sawa sepanjang empat meter dalam kejadian di Kampung KPD Menumbok, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 pagi Khamis, pengadu, Nurimah Nasiril, 31 tahun, difahamkan dalam perjalanan menuju ke reban ayam peliharaannya yang terletak berhampiran rumah sebelum dikejutkan dengan 'kelibat' reptilia berkenaan.

Sebaik sahaja menghampiri ular sawa terbabit, pengadu mendapati reptilia berkenaan sedang menelan salah seekor anak kucing peliharaannya.

Tanpa berlengah, suri rumah itu bergegas memaklumkan insiden berkenaan kepada ahli keluarganya yang lain sebelum menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort, Mohd Mayroof Koibil berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.29 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan bantuan kecemasan.

"Sebuah jentera dengan kekuatan seramai empat anggota dikejarkan ke rumah pengadu sebaik menerima panggilan kecemasan itu.

"Berdasarkan maklumat awal, kejadian ini membabitkan seekor ular sawa sepanjang empat meter dengan berat 20 kilogram yang difahamkan membaham salah seekor kucing peliharaan milik pengadu.

"Sebaik tiba di lokasi pada jam 7.46 pagi tadi, reptilia itu ditemui berlingkar berhampiran reban pengadu sebelum berjaya ditangkap dengan menggunakan alat penjerut dan peralatan khas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Mayroof berkata, operasi menangkap ular itu memakan masa kira-kira 10 minit tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Kita berjaya menamatkan operasi itu pada jam 7.56 pagi.

"Ular sawa berkenaan juga sudah dibawa ke pejabat APM Beaufort dan akan diserahkan kepada pihak berwajib bagi tindakan lanjut," katanya.