MELAKA: Seorang suri rumah dan seorang pelajar lelaki di sebuah institusi pengajian tinggi awam di sini kerugian RM259,642 selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata, suri rumah berusia 60 tahun yang tinggal di Alor Gajah itu kerugian RM247,642 manakala pelajar berusia 21 tahun dari Batu Berendam pula kerugian RM12,000.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berkaitan penipuan itu daripada mangsa, masing-masing di Balai Simpang Ampat dan Batu Berendam pada 8 April lepas.

"Kedua-duanya mendakwa menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari KKM yang memaklumkan butiran peribadi mereka telah digunakan individu lain untuk pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19.

"Mangsa kemudian diarahkan memberi kerjasama kepada suspek untuk menyiasat perkara itu dan kemudian dihubungkan dengan panggilan daripada pihak polis untuk pengesahan lanjut sebelum dimaklumkan butiran peribadi mereka terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa diugut akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka gagal memberikan kerjasama kepada sindiket tersebut.

Katanya, sindiket berkenaan kemudian mengarahkan mangsa memberikan segala maklumat akaun bank kononnya bagi tujuan semakan audit tetapi setelah mangsa memberikan maklumat nombor akaun bank, nombor pin dan kata laluan perbankan dalam talian, wang mangsa dipindahkan ke akaun yang digunakan suspek.

Sundra Rajan berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, beliau berkata Polis Melaka menerima 93 laporan berkaitan sindiket Macau Scam melibatkan kerugian kira-kira RM3.12 juta dalam tempoh 1 Jan hingga semalam.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan panggilan mencurigakan dan menyemak nombor telefon atau nombor akaun yang diberikan suspek melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau memuat turun aplikasi 'Semak Mule CCID' di Play Store sebelum melakukan apa-apa transaksi.

-- BERNAMA