Selepas tiga hari, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono akhirnya membalas tweet yang dikirim Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung isu jerebu yang melanda rantau ini.

Tweet Najib yang dikirim pada 25 Jun berkata pihak Malaysia harus bekerjasama bersama pihak Indonesia untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang dalam menangani masalah jerebu.

Presiden Indonesia itu menjawab menerusi Twitter antara lain bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri dan mengajak bersama-sama melakukan yang terbaik demi rakyat kedua-dua negara:


Sebelum ini, pada 25 Jun, Susilo telah memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura secara terbuka akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera yang menjadi penyumbang kepada krisis jerebu serantau.

"Atas apa yang terjadi ini, selaku presiden saya meminta maaf dan pengertian saudara-saudara kami di Singapura dan Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Presiden pada Isnin malam.

"Tentu, tidak ada niat Indonesia atas apa yang terjadi," katanya.

Susulan permohonan maaf Susilo, ramai pihak di Indonesia mengkritik tindakan beliau.

Memetik laporan Kompas.com, Ketua Parti Hanura Syarifuddin Sudding berkata permohonan maaf Presiden berkenaan mengerdilkan atau merendahkan martabat bangsa Indonesia.

"Permintaan maaf SBY itu tidak elegan dan telah mengerdilkan bangsa kita sebagai bangsa yang besar," kata beliau.

Bekas Timbalan Presiden Jusuf Kalla juga bertanya tentang keperluan permohonan maaf Presiden Susilo.

“Kenapa pula harus minta maaf,” kata beliau kepada laman portal Republika.co.id.

Susulan kritikan yang diterima oleh beliau, Presiden Susilo memberi penjelasan tentang permohonan maaf beliau.

“Asap itu dari Indonesia, maka kita bertanggungjawab dan permintaan maaf dalam konteks itu. Menurut saya ia tidak berlebihan. Tetapi pada saat yang sama, saya katakan bahawa tentulah apa yang terjadi saat ini bukan disengajakan, tidak ada niat Indonesia untuk membikin susah tentangga-tetangganya," jelas Presiden Indonesia kepada portal Inilah.com.