Seorang lelaki dipercayai suspek kes samun dan pecah rumah ditemui mati di sebuah rumah di Taman Puteri Wangsa Ulu Tiram Johor, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang, suspek ditemui mati dengan kesan luka di belakang kepala selepas bergelut dengan tuan rumah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki cedera akibat disamun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian itu bermula apabila suspek memasuki rumah mangsa melalui tingkap tandas belakang bersebelahan dapur yang diumpil dari luar.

"Suspek bertindak memecahkan pintu bilik utama sebelum mengugut dengan menggunakan pemutar skru supaya mangsa menyerahkan barang-barang berharga," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shahurinain, suspek kemudian menggeledah bilik kedua dan ketiga dengan dipandu arah oleh mangsa yang dalam ketakutan kerana suspek bersenjatakan pemutar skru.

Katanya, sebaik sahaja selesai menyamun, suspek memaksa mangsa membuka pintu dapur untuk melarikan diri dengan barang-barang kecurian seperti dompet dan wang tunai RM730, cincin emas dan telefon bimbit.

Bagaimanapun ujar beliau, mangsa berjaya mencapai satu bilah pisau pemotong sayur anggaran ukuran 22 sentimeter dan bertindak mengarahkan suspek memulangkan semula barang miliknya.

"Suspek enggan memulangkan sehingga berlaku pergelutan. Mayat suspek dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk bedah siasat," katanya yang memberitahu suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau.