Suspek kes tembak di Golok sudah tamatkan karier bola sepak sejak 2020 - KAFA

Suspek (duduk) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tembak rakyat Malaysia di Sungai Golok. - Gambar/ Polis Thailand
KOTA BHARU: Bekas penjaga gol Kelantan FA yang menjadi suspek kes tembak seorang rakyat Malaysia sehingga mati di Golok, Thailand pada Sabtu lalu sudah menamatkan karier bola sepak sejak tahun 2020.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata pemain berusia 31 tahun itu pernah beraksi bersama pasukan Kelantan pada 2014 dan 2019.
"Sepanjang tempoh itu dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah disiplin atau terbabit dalam jenayah. Pergaulan dengan rakan sepasukan dan pengurusan juga sangat baik.
"Dia bermain di hujung musim tahun 2019 bersama Kelantan FA,” katanya.
Menurut Husin, selepas tamat kontrak penjaga gol berkenaan telah beraksi bersama Nara United FC di Thailand pada 2020.
Katanya, selepas itu pemain berkenaan terus hilang daripada radar bola sepak negara.
Husin memberitahu, KAFA ada mencarinya untuk bermain dengan Kelantan pada tahun 2020 namun dia sudah bersama Nara United FC.
"KAFA terkejut selepas dimaklumkan bekas penjaga gol itu kini ditahan sebagai salah seorang suspek kes tembakan di Sungai Golok, Sabtu lalu," ujarnya.
Terdahulu, dilaporkan bekas penjaga gol Kelantan FA itu ditahan bersama dua pucuk pistol bagi membantu siasatan berhubung kes tembak rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, di Sungai Golok.
Suspek yang berusia 31 tahun ditangkap mengikut waran tangkap Mahkamah Wilayah Narathiwat atas tuduhan bersama-sama membunuh orang lain dengan niat yang telah dirancang terlebih dahulu. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


