Pembasmian kemiskinan tegar dalam semua bentuk harus dilaksanakan oleh semua pihak.

Berikut ucapan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Simposium Tahunan Ke-Empat Kewangan Islam.

Simposium ini dinjurkan bersama Bank Dunia, INCEIF, dan Islamic Research & Training Institute (IRTI).

Anwar menyarankan kesemua pihak terlibat untuk bekerjasama dan menggunakan panduan yang telah diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melalui program ‘Matlamat Pembangunan Mampan’ atau ‘Sustainable Development Goals’ (SDG).

Panduan pembasmian kemiskinan adalah SDG nombor satu dari 17 SDG kesemuanya.

“Pembangunan hanya boleh dilaksanakan sekiranya keadilan wujud,” kata Anwar.

“Walaupun terdapat kritikan terhadap Bank Dunia, tidak dapat dinafikan bahawa bank pembangunan ini telah memberi tumpuan yang tinggi terhadap inisiatif pembasmian kemiskinan, dan pembasmian kemiskinan tegar,” tambah beliau lagi.

SDG SELARAS DENGAN SHARIAH

PBB menyenaraikan 17 SDG utama, di mana INCEIF menyatakan bahawa kesemua SDG yang diumumkan adalah selaras dengan Maqasid Shariah, iaitu memelihara agama, kehidupan, dan pembangunan.

“Dalam filem 1987 ‘Wall Street’, watak utamanya – Gordon Gecko menyatakan bahawa ‘tamak itu bagus’ atau ‘greed is good’.

Kenyataan Gecko ini ditambah dalam filem susulan pada tahun 2010 ‘Wall Street: Money Never Sleeps’ apabila Gecko menyatakan bahawa ‘bukan sahaja tamak itu bagus, tetapi sikap tamak ini nampaknya telah dihalalkan’ atau ‘not only is greed is good, it is also legal as well’.

“Ini adalah satu sikap keji yang dunia telah menganggap sebagai lazim. Ternyata sikap ini salah, kerana kemiskinan tegar masih berleluasa,” ujar beliau lagi.

Dalam ucapannya itu, Anwar turut bertanyakan apakah tanggungjawab masyarakat Islam tentang fungsi dan peranan mereka dalam membasmi kemiskinan tegar.

“Kita sebagai umat Islam harus bersatu dalam objektif ini. Kita harus bekerjasama dengan institusi besar seperti Bank Dunia, INCEIF, IRTI, Bank Negara, dan lain-lain untuk mengukuhkan ekonomi umat Islam,” tambah beliau.

ISLAM MILIK SEMUA

Anwar turut mengingatkan Maqasid Shariah merupakan suatu perkara yang memperbaiki keadaan kesemua kehidupan manusia dan bukannya umat Islam sahaja.

“Pembasmian kemiskinan adalah matlamat semua orang, tidak kira bangsa mahupun agama. Walaupun umat Islam boleh memampankan Maqasid Shariah melalui kewangan Islam, harus diingatkan peranan pembasmian juga perlu dilakukan oleh semua pihak,” katanya lagi.

Turut berucap pada simposium itu ialah Firas Raad, Pengerusi Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad; Dr. Turkhan Ali Abdul Manap, dari Islamic Development Bank; dan Prof. Datuk Dr. Azmi Omar, Presiden & CEO INCEIF.

Simposium Tahunan Ke-Empat Kewangan Islam berlansung di Sasana Kijang Kuala Lumpur pada 11 Disember 2018.