SHAH ALAM: Sebuah syarikat pembinaan didenda maksimum RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah gagal memastikan keselamatan dan kebajikan pekerjanya sehingga menyebabkan seorang pekerja warga Indonesia meninggal dunia.

Hakim Rofiyah Mohammad menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat HAB Construction Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Haw Wei Sheng, 32, selaku orang kena saman (OKS) selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Rofiyah tidak membenarkan penangguhan bayaran dan memerintahkan denda itu dijelaskan hari ini.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai majikan didakwa telah gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja kepada semua pekerjanya sebagaimana yang perlu semasa pengoperasian kren menara sehingga menyebabkan kemalangan pekerja ditimpa oleh struktur kren menara.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tapak cadangan pembangunan bercampur di Persiaran Multimedia, Seksyen 7, di sini pada 10.30 pagi, 2 Jan 2018 mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta dihukum mengikut Seksyen 19 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Dalam kejadian itu mangsa Matrais, 38, telah meninggal dunia dan tiga lagi pekerja Sudami (Indonesia), 50, dan dua warga Bangladesh, Toffazal Hossain, 41, dan Raja Miah,33, mengalami kecederaan selepas kren tumbang di tapak pembinaan berkenaan.

Ketika rayuan, syarikat itu yang diwakili peguam Arif Asyraf Mohd Khairi memohon dikenakan denda minimum dengan alasan pihak OKS memberi kerjasama yang baik sepanjang perbicaraan berjalan.

"Atas rasa tanggungjawab, OKS juga telah membayar pampasan RM10,000 kepada pihak keluarga si mati serta urusan penghantaran jenazah ke Indonesia selain tiga yang lain turut ditanggung sepanjang menerima rawatan di hospital.

"Saya juga memohon, sekiranya mahkamah dapat menggunakan budi bicara memberikan tempoh waktu sekurang-kurangnya dalam minggu ini bagi pihak OKS menyempurnakan denda tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JPKKP) Selangor, Mohd Nizam Teh Kamaruddin memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam selain kematian pekerja itu supaya memberi pengajaran kepada OKS serta majikan lain.

Dalam prosiding itu, pendakwaan turut dikendalikan Pegawai Pendakwa JPKKP Selangor Maizura Yusof dan Mohd Khairi Mohd Yatim manakala tertuduh turut diwakili peguam Mohd Khairul Brian dan Muhamad Syah Azlan.

Seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 22 April 2021 selain sebanyak 37 eksibit dikemukakan sepanjang kes itu berlangsung.

-- BERNAMA