Selain mendirikan struktur khemah perniagaan tanpa kebenaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sebuah syarikat tekstil terkenal di Seksyen 7 di sini turut mempunyai kompaun tertunggak sebanyak RM700,000.

Ketua Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata kompaun kerana menaikkan papan iklan tanpa permit itu adalah jumlah yang terkumpul sejak 2017.

"Sejak 2017 sehingga kini, sebanyak 1,103 kompaun dikeluarkan MBSA terhadap syarikat ini kerana menaikkan papan iklan tanpa kebenaran dan ia langsung tidak pernah dibayar," katanya kepada pemberita selepas melawat kerja-kerja meroboh struktur khemah perniagaan itu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Khamis.

Mengulas tindakan MBSA merobohkan struktur khemah perniagaan milik syarikat tekstil itu dalam satu operasi pada Rabu, Shahrin berkata ia dilakukan selepas empat notis amaran kesalahan yang dikeluarkan sejak 2015 tidak diendahkan.

Beliau berkata MBSA mengeluarkan satu lagi notis pada 2 Mac lepas mengikut Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) sebagai pemakluman bahawa struktur khemah perniagaan itu dibina tanpa kelulusan PBT terbabit sebelum notis supaya ia dirobohkan dikeluarkan mengikut Seksyen 72(1) akta sama.

"Oleh kerana syarikat tekstil itu gagal merobohkan sendiri struktur khemah berkenaan seperti yang diarahkan, MBSA pada 5 Mac lepas mengeluarkan notis supaya mereka mengosongkan khemah dalam tempoh 30 hari bagi kerja-kerja meroboh oleh MBSA yang sepatutnya dijalankan pada 5 April tetapi ditangguhkan sehingga semalam.

"Semalam, operasi merobohkan satu daripada tiga struktur khemah telah dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Diraja Malaysia.

"Hari ini (Khamis), MBSA merobohkan sebuah lagi khemah dan memberikan tempoh sehingga tengah hari esok untuk syarikat ini merobohkan satu lagi struktur khemah berkenaan," katanya.

Justeru itu, kata Shahrin, MBSA menasihatkan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan PBT selain tidak membina sebarang struktur tanpa kebenaran atau bakal berdepan tindakan tegas.

- BERNAMA