KUALA LUMPUR : Setiap kali menjelangnya Syawal, penduduk di Kelantan kerap berdepan isu gangguan bekalan air yang dilihat menjejaskan sambutan perayaan itu.

Bahkan isu yang sering melanda di negeri itu juga sudah dianggap seperti tradisi setiap tahun apabila tiba musim perayaan.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan, Mohd Syahiran Muhammad berkata, persiapan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) dianggap mengecewakan sehingga membebankan penduduk terjejas.

Meskipun aduan telah dikemukakan akaun Facebook rasmi AKSB, namun masih belum ada sebarang tindakan yang proaktif diambil pihak AKSB.

Sebaliknya AKSB bertindak menutup ruangan komen berikutan pelbagai bentuk aduan yang telah dilaporkan pengguna yang terjejas.

“Tindakan AKSB yang menutup ruangan komen adalah tindakan tidak wajar, kerana akaun rasmi AKSB di semua platform media sosial sepatutnya menjadi ruangan untuk netizen Kelantan melaporkan isu tersebut.

“Memandangkan beberapa komen netizen dalam hantaran tersebut turut memaklumkan kawasan yang terjejas, kami memohon AKSB melaporkan bentuk tindakan yang diambil bagi memastikan  masalah bekalan air yang dirawat tidak mencukupi sempena Aidilfitri, sudah diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan penduduk yang terjejas terpaksa berulang alik bagi mendapatkan bekalan air bersih.

Dalam pada itu, Mohd Syahiran turut menggesa kerajaan negeri khususnya agar campur tangan berhubung isu yang seperti tiada noktahnya.

“Kami juga menggesa kerajaan negeri khususnya Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri untuk memberi penerangan dan menyelesaian segera terhadap isu ini, kerana masalah yang berlaku sedikit sebanyak memberi imej negatif terhadap libat urus keperluan asas negeri,” ujarnya lagi.

Pada 15 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa masalah bekalan air perkara wajib diselesaikan sekiranya UMNO menang pada pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan nanti.

Presiden UMNO itu berkata masalah air di Kelantan adalah janji UMNO yang akan diselesaikan.