PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia dinasihatkan supaya mewujudkan satu duluan antarabangsa dengan memulakan prosiding perundangan di mahkamah tempatan terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan genosid.

Dalam ucaptamanya di Hari Memperingati Genosid 2024 (GMD) pada Ahad, bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata Malaysia perlu menimbangkan untuk melakukan intervensi secara konsisten dan menggunakan langkah perundangan bagi menyokong rakyat Palestin dalam kerangka perundangan antarabangsa.

Beliau berkata negara ini mesti memberi tekanan kepada pendakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Karim Khan untuk melaksanakan siasatan terhadap jenayah dilakukan Israel dengan lebih serius.

"Saya telah berbincang dengan sejumlah pakar perundangan, dan mereka menjelaskan kepada saya bahawa pemimpin Israel boleh dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Malaysia oleh Peguam Negara sama ada bagi pihak mangsa di Gaza yang boleh dibawa ke Malaysia untuk rawatan atau rakyat Malaysia yang berada di Gaza semasa genosid," katanya.

Syed Hamid merupakan tetamu di GMD 2024 yang didedikasikan untuk memperingati dan meningkatkan kesedaran mengenai sikap tidak berperikemanusiaan sesama manusia yang berlangsung di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, di sini pada Ahad.

Beliau berkata ICC cuba mengelak daripada menjalankan tanggungjawabnya secara serius dalam isu Palestin, tidak seperti tindakan segera dilakukannya di Ukraine.

Beliau berkata walaupun Malaysia bukan sebahagian daripada pihak dalam Statut Rom, dan maka dalam perhimpunan negara-negara yang menyertai perjanjian itu, mereka masih boleh menunjukkan dwistandard pihak pendakwaan dan siasatan yang perlahan.

"Kita telah diminta untuk meratifikasi Statut Rom dan menyertai mahkamah itu oleh banyak negara Barat. Sekarang saya tanya kenapa kita perlu ratifikasi, jika mahkamah itu dipolitikkan?

Seolah-olah ia sebuah mahkamah hanya untuk musuh-musuh Barat dan pemimpin Afrika," katanya.

Syed Hamid juga menggesa Malaysia supaya tidak menjadi sebahagian daripada "kesenyapan" ini dan menggunakan pengaruh diplomatik dan ekonomi untuk membawa perubahan ketara dengan libat urus bersama badan antarabangsa dan menyokong penyelesaian yang mengutuk tindakan sedemikian.

Baru-baru ini, Malaysia menegaskan sokongannya kepada tindakan Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam mendukung keadilan dan mengutuk penindasan Israel di Palestin.

Tahun ini Malaysia menjadi sebahagian daripada inisiatif penting ini yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Citizen's International Malaysia, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), and IAIS Malaysia.

GMD dimulakan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antarabangsa (IHRC) pada 2010 untuk memperingati genosid yang masih berlangung dan pada masa lampau sambil menyokong pencegahannya.

Sejak itu, acara berkenaan berlangsung di seluruh pelosok dunia dan menarik penyertaan pelbagai penceramah, peserta dan aktivis dari semua latar belakang politik, agama dan kaum, membuka mata mengenai perbuatan genosid yang tidak diberikan pendedahan secukupnya oleh media utama.

-- BERNAMA