KUALA LUMPUR : Kerajaan sedia melihat keperluan untuk mengkaji semula mata pelajaran Pendidikan Islam bagi memberi kefahaman yang lebih jelas kepada pelajar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata, langkah itu juga dalam usaha mengelak mana-mana pihak untuk mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah.

"Kadang-kadang semua (mahu) jadi pakar, rujuk kepada authority, hadis, quran, ulasan, pemikir. Ini  tazkirah pun nak buat fatwa masing-masing dan apabila kita tegur dia kata kita anti ulama. Tak benar. Kalau guru agama itu buat kenyataan yang salah, kita mesti tegur, kalau tidak, kerana dia tokoh parti, dia orang lama, kenyataan dia semua (dianggap) benar.

"Islam tidak pernah mengajar kita begitu. Itu sebabnya pendidikan Islam itu harus memberi kefahaman lebih mendalam berdasarkan Al-Qura, sunnah dan ulamak Muktabar dan ungkapan itu mesti dihujah dan jika perlu teguran, pembetulan, ini yang dikatakan tradisi ilmu pelajaran cara kritis," katanya kepada media selepas melancarkan buku himpunan esei " Knowledge, Tradition and Civilization: Essays In Honour of Professor Osman Bakar" di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), UIAM Kampus Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Pendidikan Islam | Kerajaan lihat keperluan kaji semula, mudahkan kefahaman pelajar


Bagaimanapun katanya, beliau menyerahkan langkah kajian semula itu kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk meneliti perkara berkenaan. 

"Itu saya serah kepada Menteri Pendidikan Tinggi bahawa saranan-saranan daripada sarjana-sarjana iaitu mata pelajaran peradaban Islam perlu dilihat dan dikaji semula supaya betul-betul memberi kefahaman yang lebih mendalam dengan mesej Islam tentunya soal nilai, aklak dan universal. Jadi, ini dirasakan perlu diberi perhatian,"  katanya lagi.