Setiap bulan para peniaga di Pasar Awam Sandakan membayar RM60 untuk sewaan tapak jualan di pasar itu.

Jika dihitung, bayaran untuk sewaan tapak jualan tersebut berjumlah RM720 untuk 12 bulan atau setahun.

Melihat kepada kesan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keputusan kerajaan menangguhkan bayaran sewa tapak dilihat langkah tepat dalam memastikan kebajikan para penjaja kecil seperti mereka.

Bagi peniaga sayur Hasnitah Aziz, 32 tahun, langkah itu sudah pasti meringankan beban para peniaga di pasar tersebut yang terkesan akibat COVID-19.

"Sejak PKP kami tidak dapat berjualan mencari rezeki dan apabila diumumkan PKPP dan dibenarkan berjualan, pembeli pula kurang.

"Dengan penangguhan bayaran sewa tapak ini dapat meringankan beban kami (peniaga). Keuntungan yang kami dapat juga bukanlah banyak adalah la RM1 ke RM2," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pasar Awam Sandakan pada Selasa.

Penangguhan bayaran sewa itu dapat meringankan beban peniaga di Pasar Awam Sandakan.

Bagi seorang pesara yang kini memilih untuk berniaga ubi kayu di pasar itu, Ready Hadlang, 64 tahun, kesan COVID-19 itu cukup dirasai apabila suasana di pasar tersebut tidak semeriah dahulu.

Akuinya, para pembeli juga kurang memandangkan mereka juga masih takut dengan wabak berkenaan.

"Nasib baik sewa tapak ini ditangguhkan bayarannya dan kami hanya menyambut semula bayaran pada tahun depan.

"Jumlah RM60 sebulan itu cukup besar kerana pendapatan juga bukan mewah sekarang.. pembeli juga kurang kerana takut COVID-19," katanya.

Penangguhan bayaran sewa itu boleh dijadikan modal pusingan untuk meneruskan jualan.

Bagi peniaga muda, Patmah Asdil, penangguhan RM60 itu boleh disimpan selain dijadikan modal untuk meneruskan jualan mereka.

Katanya, pendapatan menjual sayur-sayuran di pasar itu bukan lumayan tetapi cukup untuk meneruskan kehidupan.