Pasukan kelab Terengganu, T-Team terus mendapat suntikan semangat dalam saingan memburu lima tempat teratas pada saingan Liga Super musim ini apabila menerima penajaan RM80,000.

Tajaan itu merangkumi RM60,000 dari Hotel Permai di sini dan RM20,000 dari GLE Centre Enterprise, syarikat pengeluar minuman 'Kopi Super Jantan' .

Pengerusi Hotel Permai, Tan Sri Wan Abu Bakar Omar berkata penajaan yang diberikan kepada pasukan T-Team sejajar dengan pendekatan dasar hotel menekankan konsep pelancongan sukan.

"Kita percaya pasukan T-Team mampu mencapai sasaran menduduki tangga lima ke atas dalam saingan Liga Super musim ini. Bahkan, The Titans juga mempunyai sasaran untuk membawa pulang satu piala pada musim kali ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian tajaan di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abd Rasid Jusoh, Pengarah Urusan GLE Centre Enterprise Mohd Zulkifli Harun dan Pengurus Besar Hotel Permai, Azman Ali.

Dalam pada itu, Mohd Zulkifli berkata tajaan syarikat pengeluar itu bertujuan untuk memberi suntikan moral kepada pasukan T-Team.