PUTRAJAYA: Kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat yang optimum, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mengambil contoh Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95, manakala kumpulan B40 pula menggunakan RM243 sebulan hasil pemberian subsidi kerajaan.

Justeru, beliau menegaskan adalah tidak wajar untuk kerajaan meneruskan pendekatan yang disifatkan sebagai tidak adil kepada kumpulan sasar.

“Subsidi diesel yang sepatutnya memberi manfaat kepada nelayan atau pengguna untuk mendapat 'value for money' kepada perkhidmatan dan barangan yang mereka beli, telah turut disalahgunakan oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan.

“Kita tahu, disebabkan diesel disubsidi secara pukal, wujud ruang ketirisan yang telah menyebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menyeludup diesel di pasaran gelap,” katanya dalam teks ucapan yang dibaca oleh pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, hari ini.

Armizan membacakan teks itu ketika mewakili Ahmad Zahid merasmikan Simposium Kos Sara Hidup 2023 di Pusat Pameran dan Konvensyen, IOI City Mall, Putrajaya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga menanggung perbelanjaan yang semakin besar dalam peruntukan subsidi, di mana sebanyak RM91.9 bilion telah dibelanjakan pada 2022.

Bagi 2023 pula, beliau berkata peruntukan asal bagi keperluan subsidi sebanyak RM64 bilion, tetapi kerajaan mengunjurkan nilai tersebut mencecah RM 80.9 bilion berdasarkan perbelanjaan semasa.

“Senario berterusan sebegini tidak optimum dari sudut fiskal dan adalah wajar bagi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan bagi menambah baik kaedah penyampaian bantuan yang lebih bersasar kepada rakyat,” tambah beliau.

Dalam masa yang, beliau mengakui bahawa pelaksanaan subsidi bersasar bukan sesuatu yang mudah dan mempunyai cabarannya.

Ujar beliau, kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakan penyasaran semula subsidi kerana ia akan memberi pelbagai kesan kepada pelbagai kumpulan masyarakat dan sektor ekonomi.

Selain itu, Ahmad Zahid memaklumkan sebelum pelaksanaan subsidi bersasar, kerajaan perlu
meneliti jangkaan secara langsung terhadap kenaikan kadar inflasi melalui Indeks Harga Pengguna (IHP).

Katanya, kadar inflasi dilihat semakin mereda pada awal tahun ini dan inflasi keseluruhan mencatatkan 1.8 peratus pada Oktober 2023.

“Dalam konteks ini, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan mekanisme untuk meredakan keresahan rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang mencabar.

“Kerajaan akan meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

“Selain itu, kerajaan akan meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar mulai 2024,” kata Ahmad Zahid.