MALAYSIA
Tabung Canselor UTM 'Because We Care' berjaya kumpul RM1.7 juta - Raja Zarith Sofiah
Lebih RM1.7 juta berjaya dikumpulkan dalam tempoh empat hari untuk mengisi Tabung Canselor "Because We Care" yang bertujuan membantu mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang kurang berkemampuan.
Penubuhan tabung berkenaan adalah ilham Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang juga Canselor UTM selepas menyampaikan sumbangan peribadi kepada dua mahasiswa UTM yang menghidap kanser, Januari lalu.
Tabung tersebut akan digunakan untuk membantu mahasiswa yang memerlukan bantuan kewangan dari segi memenuhi keperluan harian mereka seperti perbelanjaan makanan harian yang berkhasiat, kos perubatan serta pembelian bahan-bahan pembelajaran.
"Pada saya sebagai Canselor, saya ingin menolong pelajar di UTM tetapi bagi Institusi Pengajian Tinggi lain, terpulang kepada mereka.
"Idea tabung ini tercetus selepas saya bercakap dengan Naib Canselor yang mana saya diberitahu, ramai pelajar yang kadangkala terpaksa berlapar malah hanya makan mee segera demi membantu ibu bapa mereka.
"Jadi, saya fikir melalui tabung ini, pelajar dapat makanan yang berkhasiat malah dapat menumpukan pelajaran tanpa risau dengan masalah lain," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
UTM berharap lebih ramai pihak yang sudi memberi bantuan berterusan kepada mahasiswa UTM yang kurang berkemampuan.
Sumbangan boleh disalurkan terus kepada UTM atau melalui laman crowdfund.utm.my
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami